Selera & Santai 27 Jan, 2020

BILA DI TELUK INTAN KENALAH MAKAN MI UDANG

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

JIKA datang ke Teluk Intan, Perak, tetapi tidak melawat Menara Condong, lawatan tersebut dikira tidak lengkap. Tetapi bukan sahaja Menara Condong harus dilawati jika anda berkunjung ke bandar ketiga terbesar di negeri Perak ini. Anda harus juga berkunjung ke satu lagi tempat istimewa iaitu ‘gerai udang’. : KitaReporters.com

DATARAN JPS Teluk Intan, lokasi gerai d'Tepian Sungai.


GERAI d'Tepian Sungai, Teluk Intan yang beroperasi sejak 2012.


Jika Menara Condong yang juga dipanggil  'Menara Jam Tinggi' tarikan utama pelancong ke Teluk Intan, namun jangan tidak berkunjung ke gerai makan d'Tepian Sungai, yang terletak di Dataran Parit dan Saliran (JPS), Teluk Intan. 

Ia terletak di pinggir bandar tersebut, di tebing Sungai Perak, berhampiran Jalan Mahkota dan bangunan mahkamah lama. Ia telah beroperasi sejak 2012.

Keistimewaan gerai ini ialah ia menyajikan pelbagai makanan berasaskan udang. 

Antaranya mi udang kuah, mi goreng udang, kuey teow udang kuah atau goreng, nasi goreng udang atau nasi dimakan bersama masakan lauk udang.

MI UDANG


Begitu popularnya restoran ini sehingga dipenuhi pengunjung sepanjang waktu ia dibuka dari pukul 2 petang sehingga 10 malam atau sehingga stok makanan habis.

Kebanyakan pengunjung bukan sahaja penduduk Teluk Intan, tetapi juga dari kawasan lain di sekitar bandar tersebut, sehingga ke Bagan Datuk.

Ramai pula dari jauh seperti Kuala Lumpur atau bandar-bandar lain yang datang menikmati makanan di restoran ini sambil melancong.

Ada juga yang datang semata-mata untuk menikmati makanan setelah mendapat tahu daripada rakan-rakan mengenai keenakan makanan berasas udang  di situ.

SUNGAI Perak luas terbentang memikat pendangan sambil menjamu selera di gerai d'Tepian Sungai di Teluk Intan, Perak.


Tempat makan ini bukanlah sebuah bangunan hebat tetapi hanya sebuah gerai yang ‘simple’  dan terbuka. 

Namun kedudukan gerai di tepi Sungai Perak nan luas terbentang menyerikan pemandangan sambil menjamu selera. Tiupan bayu dari sungai menambah segar suasana.

Di gerai ini anda bukan sahaja boleh memilih menu kegemaran, tetapi boleh memilih jenis udang yang dikehendaki, sama ada gred A, gred B atau gred B-.

Bagaikan gred di sekolah yang mana A adalah terbaik, begitu juga dengan gred udang ini. Gred A pastinya yang terbaik dan besar. 

Harga makanan dengan udang gred A juga lebih tinggi berbanding gred lain.

Misalnya bagi mi dan kuey teow kuah atau goreng, satu sajian udang gred A berharga RM23, gred B RM21 dan gred B- ialah RM19.

Beza setiap sajian menurut gred udang hanyalah RM2. Terpulang kepada pelanggan memilih kerana ada yang suka udang besar, ada juga suka udang bersaiz sederhana. 

MENU di gerai d'Tepian Sungai.


Yang pasti, apa pun gred udang pilihan pelanggan, keenakan masakan udang segar tetap sama.

Memandangkan gerai makan ini menjadi tumpuan ramai, pelanggan perlu bersabar sedikit menunggu pesanan di siapkan, khususnya ketika waktu puncak.

Pelanggan yang ramai dengan masing-masing mempunyai pilihan menu tersendiri, menyebabkan tukang masak tidak menang tangan memasak setiap pesanan yang berlainan.

Bagaimana pun usah bimbang. Makanan pelanggan akan disajikan dalam jangka waktu yang menasabah. 

Sementara menunggu, nikmatilah hembusan bayu Sungai Perak dan nikmati minuman yang biasanya disajikan lebih awal.

ENAKNYA menikmati mi udang di d'Tepian Sungai, Teluk Intan, Perak.


Ketika membuat pesanan makanan, pastikan anda lakukan dengan jelas dan tepat. Misalnya jika memesan mi udang, sebut dengan jelas sama ada mi berkuah atau goreng, dan udang gred apa dikehendaki.  

Biasanya mereka yang mengambil pesanan akan mengesahkan dengan pelanggan pesanan yang dibuat. Ini akan memastikan pelanggan mendapat apa yang dikehendaki. Ini juga bagi mengelakkan kekeliruan dengan pesanan orang lain.

MI goreng udang dan kuey teow kuah udang.


Pada sebelah siang, ramai pelanggan mula berpusu sebaik sahaja gerai dibuka. Jika pelanggan ingin suasana lebih tenang dan redup, boleh datang pada sebelah petang atau malam.

Datanglah ke Teluk Intan untuk melancong sambil merasai keenakan masakan udang di d’Tepian Sungai. 

Anda pasti puas hati dengan makanan yang disajikan. - KitaReporters.com 

LAUK udang untuk dimakan dengan nasi atau diratah.

3
1
1
0
1
You will be interested