Selera & Santai 24 Jun, 2020

Gara-gara durian! Pejabat pos Jerman dikepung polis, bomba!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SIAPA sangka durian, ‘raja buah’ yang menjadi kegemaran hampir semua rakyat di negara ini, boleh mencetuskan suasana panik dan kelam kabut di sebuah pejabat pos di bandar Schweinfurt, Jerman sehingga memaksa anggota polis, bomba dan pasukan perubatan berkejar ke pejabat pos tersebut. Ada juga dalam kalangan pekerja yang dimasukkan ke hospital. Biar betul!! : KitaReporters

KEDUDUKAN bandar Schweinfurt di Jerman. - Kredit foto: Pinterest


Suasana panik di pejabat pos tersebut terserlah dengan kehadiran enam buah ambulans, lima jentera bomba serta dua kenderaan kecemasan polis mengepung pejabat pos berkenaan bagi menghadapi kemungkinan tidak diingini.

Kekecuhan ini gara-gara 12 orang pekerja perkhidmatan kurier di pejabat pos tersebut tiba-tiba mengadu berasa mual serta sakit kepala, disyaki menghidu bau ‘busuk’ daripada sumber yang tidak diketahui.  

Enam daripada mereka dimasukkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Pihak berkuasa bimbang kemungkinan ada barangan berbahaya di pejabat pos tersebut sehingga mengakibatkan ramai pekerja tiba-tiba jatuh sakit serentak. 

Pihak polis juga meminta pejabat pos itu dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

KEADAAN kecuh dan panik di pejabat pos di Schweinfurt dengan kehadiran polis dan ambulans apabila bau durian disangka bau bahan berbahaya. - Kredit foto: Juice


Namun setelah siasatan rapi dijalankan, rupanya para pekerja ini mual dan sakit kepala kerana tercium bau durian Thailand yang diposkan melalui pejabat pos tersebut sebelum dihantar ke destinasi.

Sewaktu menerima bungkusan tersebut, pekerja pejabat pos mungkin tidak menyedari isi kandungannya. Bungkusan ini kemudian bercampur dengan bungkusan lain sehinggalah baunya yang menusuk hidung itu mula merebak.

Memetik laporan CNN, kekecuhan yang berlaku pada 20 Jun 2020 itu bermula setelah pekerja pos tercium bau ‘busuk’ daripada tempat bungkusan dan mengesyaki salah satu daripada bungkusan itu  mungkin mengandungi bahan atau gas berbahaya.

Kerana itu keseluruhan bangunan dikosongkan dan 60 pekerja diarah meninggalkan bangunan sebelum bungkusan itu diperiksa dengan teliti.

Setelah bungkusan yang berbau kuat itu diperiksa, ternyata ia bukan mengandungi bahan berbahaya, sebaliknya mengandungi empat biji durian yang dihantar oleh seorang  penduduk tempatan berusia 50 tahun kepada rakannya di Nuremberg.

Namun tidak dinyatakan dari mana pelanggan tersebut membeli durian produk Thailand berkenaan.

Setelah dipastikan bahawa hanya durian berada dalam bungkusan tersebut, pihak pejabat pos akhirnya menghantar buah tersebut ke alamat seperti tertera pada bungkusan.

BUAH durian yang lemak manis mungkin dianggap 'busuk' dan mendatangkan panik kepada mereka yang tidak pernah mencium baunya. - Kredit detikfood.


Kekecuhan yang timbul sehingga mewujudkan panik akibat mencium bau durian bukanlah satu perkara pelik kerana bagi mereka yang tidak biasa dengan baunya memang akan berasa mual.

Jika dalam kalangan rakyat Malaysia pun ada yang tidak tahan dengan bau durian, apatah lagi masyarakat asing yang tidak pernah mencium baunya.

Menurut CNN, sebenarnya ini bukanlah pertama kali bau durian menimbulkan kekecuhan dan kebimbangan kepada ramai.

Tahun lalu, kakitangan perpustakaan di Universiti Canberra, Australia terpaksa mengosongkan bangunan kerana mengesyaki berlaku kebocoran gas di bangunan berkenaan kerana terhidu bau yang tidak menyenangkan.

Setelah disiasat, tidak ada kebocoran gas berlaku. 

Sebaliknya bau tersebut rupanya datang daripada durian. Tidak dapat dipastikan bagaimana buah tersebut boleh berada di dalam perpustakaan berkenaan.

Dalam satu insiden lain pada November 2018, sebuah pesawat Indonesia terpaksa ‘direhatkan’  untuk beberapa waktu ekoran rungutan penumpang kerana ruang kabinnya ‘diresapi’ oleh bau durian dari ruang kargo. 

Hanya setelah bau tersebut hilang barulah pesawat itu kembali terbang. - KitaReporters

PEMANDANGAN di bandar Schweinfurt, Jerman. - Kredit foto: Pinterest

4
2
3
5
2
You will be interested