SELEPAS tularnya menu roti canai ular dan roti canai sarang burung, kini wujud pula roti canai ular makan telur. Gabungan dua menu menjadi satu sebagai strategi pemasaran. Kalau nak rasa kenalah datang ke kedai roti canai di Kampung Rawai, Marang, Terengganu. : KitaReporters
Roti canai ular makan telur tercetus hasil menu roti canai sarang burung dan roti canai ular.
Lagi cerita-cerita berkaitan roti canai:
https://kitareporters.com/search?search=roti+canai
Mengambil peluang di sebalik tularnya menu roti canai ular dan sarang burung, seorang peniaga di Kampung Rawai, Marang, Terengganu mempunyai pendekatan tersendiri bagi melariskan jualannya iaitu dengan menggabungkan dua menu tersebut.
Menu roti canai ular makan telur hasil kombinasi dilakukan oleh Zakaria Mamat, 49, dan dijual pada harga bermula RM3.50 sekeping itu ternyata berjaya cetuskan kelainan, sekali gus menarik perhatian pelanggan.
Meskipun baharu sahaja memperkenalkan menu tersebut sekitar dua minggu lalu, namun roti canai ular makan telur itu mampu terjual antara 20 hingga 30 keping sehari.
ZAKARIA MAMAT
Menurut Zakaria, idea untuk gabungkan dua menu roti canai tular itu tercetus ekoran dia cuba menonjolkan kelainan tersendiri sebagai strategi pemasaran bagi meningkatkan lagi jualannya.
"Saya berniaga roti canai di sini sejak lebih kurang 15 tahun lalu. Tidak dinafikan roti canai ular serta roti canai sarang burung telah banyak dijual di tempat lain dan kerana itulah saya perlu fikiran kelainan tersendiri.
"Menu roti canai ular makan telur ini gabungan dua roti canai tular, saya jual bermula RM3.50 sehidangan. Kalau berasingan pula ular dijual RM1, manakala sarang burung bermula RM2.50 sekeping, jika ingin tambah telur caj lain pula.
"Tidak dinafikan ada juga dalam kalangan pelanggan yang datang pada mulanya geli untuk mencuba menu roti canai ular makan telur ini, namun boleh menikmatinya setelah rasai kelembutan rotinya," katanya kepada KitaReporters di kedainya.
Roti canai ular makan telur dijual Zakaria di gerainya di Kampung Rawai, Marang, Terengganu mendapat sambutan pelanggan.
Tambahnya, dia juga hasilkan roti canai perisa buah-buahan dengan menggunakan isi sebenar seperti rambutan serta durian sebagai kelainan pilihan kepada pelanggan dan roti canai durian paling mendapat permintaan.
Ujarnya lagi, gerainya beroperasi bermula jam 7 pagi hingga tengah hari setiap hari kecuali Sabtu dan sebanyak empat hingga enam kilogram tepung gandum digunakan setiap hari untuk jualan roti canai keseluruhan.
Untuk info, sebelum ini terlebih dahulu tular dalam media sosial menu roti canai burung dan kemudiannya roti canai ular. - KitaReporters
Zakaria turut menjual roti canai perisa buah-buahan yang menggunakan isi sebenar.