Sejak ada media sosial, memang segala berita dan maklumat yang ada di setiap pelosok dunia akan diketahui sepantas kilat.
Dalam hal ini, mari kita bercerita mengenai makanan kerana ia mudah mendapat perhatian dan digemari setiap orang. Ada orang yang tak suka makan ke? Pasti jawapannya tidak!
Mengambil sikap masyarakat Malaysia sendiri yang sejak dulu pantang mendengar makanan viral pasti akan dikerumuni seolah tiada hari esok. Tekak orang Malaysia terutama Melayu memang mudah menerima pelbagai jenis makanan dari mana-mana pelosok dunia.
Fufu dimakan beersama lauk sampingan.
Di Malaysia, makanan dari pelbagai negara ada dijual seperti makanan Thailand, Indonesia, Korea, Jepun, Barat dan lain-lain. Selagi ia sedap dan halal, pasti ramai yang mahu mencuba apatah lagi kalau makanan itu masih baharu dan viral.
Pernahkah anda mendengar makanan bernama fufu? Mungkin ada yang pernah dan sebaliknya.
Mengikut rujukan Wikipedia, fufu (atau foofoo, fufuo, foufou) adalah makanan ruji biasa yang dimakan masyarakat banyak negara di barat dan tengah Afrika sehingga sejauh Caribbean. Lebih tepat, fufu berasal dari Ghana.
Makanan tradisi ini dihasilkan dengan mencampurkan dan menumbuk tanaman kanji khususnya ubi kayu dan pisang tanduk sehingga likat.
Makanan ini dimakan kepal dengan tangan dan sering disajikan dengan sup atau kuah pelbagai rasa.
Kini makanan tersebut makin dikenali di Malaysia gara-gara sering ‘lalu lalang’ dalam media sosial yang merentasi sempadan.
Menyedarihakikat itu, seorang pengguna TikTok bernama Darlingmeo menjual makanan tersebut sementelah suaminya dari Afrika.
Dek kerana makanan tersebut masih baharu di Malaysia, pelbagai jenis soalan dilontarkan oleh netizen. Paling popular, soalan bertanyakan cara untuk memakannya.
“Nak tanya kak, makan ni kena telan terus ke, takperlu kunyah ke?’ tanya seorang netizen.
Melihat respons dan ulasan daripada pelanggan, kelihatan ramai yang menggemari makanan ini. Malah, ramai juga ibu mengandung yang mengidam untuk merasai makanan ini.
“Kedai dekat mana? Dari mengandung sampai anak dah dua bulan, tak dapat-dapat makan fufu ni,” tulis seorang netizen.
Kalau di Sabah kita ada ambuyat yang diperbuat daripada sagu dan dimakan bersama lauk sampingan seakan-akan fufu juga. Walau nampak serupa, tapi kedua-duanya berbeza sama ada dari segi bahan dan juga tempat. - KitaReporters