Selera & Santai 30 Dec, 2025

Bermandikan cahaya! Festival LENTERA kembalikan magis cahaya di Putrajaya! Tarik 150k pengunjung!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

ANJUNG Floria, Presint 4, Putrajaya bakal bermandikan cahaya warna-warni menerusi penganjuran Festival LENTERA 2025: Sisiran Tasik Putrajaya yang berlangsung selama 10 hari bermula 26 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026.


Bot berhias antara yang menjadi tumpuan sempena Festival LENTERA 2025.


Festival pencahayaan edisi khas anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu mengetengahkan tema “Warisan & Masa Hadapan” sekali gus menyajikan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan tradisional, penglibatan komuniti Putrajaya serta aktiviti santai yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Festival berwarna warni itu menjangkakan kehadiran sehingga 150,000 pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya apatah lagi dengan musim cuti sekolah sekarang. 


Mohd Sakeri Abdul Kadir (dua dari kiri) bersama pengurusan Perbadanan Putrajaya melihat keunikan salji buatan yang ada sempena Festival LENTERA 2025.


Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, berkata festival yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam itu merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan edisi 2024, sekali gus memperkukuh kedudukan Putrajaya sebagai destinasi utama festival pencahayaan di negara ini.

Beliau berkata, Putrajaya sememangnya sinonim dengan festival pencahayaan sejak 2013 menerusi Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) selari dengan statusnya sebagai bandar terancang pertama yang memiliki Pelan Induk Pencahayaan Putrajaya (Putrajaya Lighting Masterplan).

"Penganjuran LENTERA 2025 turut bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) serta sambutan ulang tahun ke-30 Perbadanan Putrajaya pada 1 Mac 2026.


Laman Dinosaur yang menjadi tarikan terutama dalam kalangan anak-anak di Festival LENTERA 2025 di Anjung Floria, Putrajaya. 


Taman yang dilimpahi cahaya lampu berwarna warni di Festival LENTERA 2025.


"Bagi edisi tahun (2025) ini, sasaran kehadiran seramai 150,000 pengunjung merangkumi masyarakat setempat serta pelancong domestik dan antarabangsa dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan bandar, merancakkan ekonomi setempat serta menyokong industri kreatif di Putrajaya.

"Festival ini menampilkan lebih 26 laman bercahaya, merangkumi Laman Budaya (Warisan) dan Aneka Laman (Masa Hadapan) selain hiasan taman bercahaya, arca kreatif, persembahan cahaya kebudayaan serta permainan interaktif," katanya ketika merasmikan Festival LENTERA 2025 di Anjung Floria, Putrajaya.

Keseluruhan kawasan Anjung Floria akan diterangi pencahayaan artistik yang memukau, diiringi persembahan kebudayaan tradisional Malaysia di setiap sudut bagi memastikan pengalaman pengunjung sentiasa hidup dan bermakna.


Komuniti Orang Asli mempersembah tarian tradisional mereka kepada orang ramai yang hadir di Festival LENTERA 2025.


Persembahan kebudayaan dan kesenian antara acara yang dipersembahkan kepada pengunjung yang hadir di Festival LENTERA 2025.


Seiring konsep Sisiran Tasik Putrajaya, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pertunjukan bot berhias bercahaya di Tasik Putrajaya melibatkan empat bot dengan tema berbeza, termasuk penyertaan khas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kemuncak festival dijadualkan pada 31 Disember 2025 sempena sambutan malam ambang Tahun Baharu 2026 yang bakal dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air serta pertunjukan bunga api.

"Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan antaranya persembahan wayang kulit, aktiviti kecergasan, pertandingan seni bayang, jualan komuniti, sewaan pakaian tradisional, persembahan buskers tempatan, aktiviti kanak-kanak, penampilan maskot serta sudut bergambar 360 darjah," katanya.


Pengunjung menikmati keindahan malam di Anjung Floria Putrajaya dengan limpahan lampu berwarna warni.


Festival LENTERA 2025 turut mendapat sokongan padu rakan strategik dan penaja daripada pelbagai sektor termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), DBKL, Putrajaya Holdings, MCMC, Amazon Web Services (AWS) dan Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) selain Tourism Malaysia serta beberapa agensi dan syarikat swasta lain.

Suria FM dilantik sebagai radio rasmi festival, manakala harga tiket masuk ditetapkan RM10 (dewasa), RM5 (kanak-kanak dan warga emas) manakala masuk percuma untuk pemegang kad OKU.

Pengunjung boleh menggunakan pengangkutan awam dengan menaiki MRT ke Putrajaya Sentral, sebelum menaiki bas perantara percuma yang disediakan setiap 30 minit ke Anjung Floria.

Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dibuat secara dalam talian di www.lentera.putrajaya.my atau http://www.lentera.putrajaya.my atau secara walk-in di lokasi festival. - KitaReporters



Mohd Sakeri Abdul Kadir bergambar kenangan bersama orang ramai dan Beruang Matahari yang menjadi maskot Tahun Melawat Malaysia 2026. 

12
17
0
14
0
You will be interested