Selera & Santai 30 Sep, 2025

Labis bukan hanya pekan koboi! Permata hijau Johor! Dari dusun ke hutan simpan! Simpan rahsia alam!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Pekan Labis di daerah Segamat, Johor mungkin dilihat tidak lebih pekan 'koboi' dan sederhana. Hanya pemandangan biasa seperti deretan bangunan kedai serta aliran trafiknya lengang. 


Menara Jam di Dataran Labis merupakan salah satu mercu tanda Labis. - Kredit foto: Towerclock.com 


Air Sungai yang jernih dan suasana damai dikelilingi hutan yang menghijau menjadikan Taman Eko Rimba Sungai Bantang destinasi pilhan keluarga untuk beriadah. - Kredit fotot: Jabatan Perhutanan Johor.


Malah pekan kecil ini seakan 'tidur awal' selepas jam 10 malam, seolah-olah masuk tidur. Tiada pusat beli-belah, tiada hotel mewah, jauh daripada hiruk pikuk kota.

Namun, di sebalik kesunyian itu tersimpan rahsia alam semula jadi yang menunggu detik untuk digilap dan menyinar mengangkat Labis menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi.


Tempat mandi yang dikhaskan untuk kanak-kanak di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, Labis, Johor.


Salah satu kolam air panas untuk pengujung berendam yang terdapat di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis, Johor.


Labis dikelilingi hutan simpan, sungai dan ladang kelapa sawit serta dusun buah-buahan yang menjadikannya syurga kecil bagi mereka yang mahu lari daripada kebinggitan kota. 

Bagi pencinta alam, Labis adalah destinasi yang lebih bernilai daripada sekadar sebuah pekan persinggahan.

Antara lokasi yang paling digemari pengunjung ialah Pusat Rekreasi Kolam Air Panas. Suhu airnya yang hangat, dipercayai memberi manfaat kesihatan merawat pelbagai penyakit kulit. 

Ramai yang datang bukan sekadar untuk berendam, tetapi juga untuk beristirahat bersama keluarga kerana di sini terdapat kemudahan kolam khas kanak-kanak dan ruang sauna ringkas.


Air terjun di Taman Eko Rimba Takah Merloh yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Labis bersebelahan Kampung Tenang, Labis. - Kredit foto: Jabatan Perhutaan Johor.


Bagi mereka yang ingin lebih dekat dengan hutan, Taman Eko Rimba Takah Merloh di Kampung Tenang adalah pilihan tepat untuk aktiviti riadah bersama keluarga.

Ditemani air terjun yang dingin, Takah Merloh sering menjadi lokasi pilihan keluarga berkelah, berkhemah dan menikmati suasana lsusana damai hutan. 

Bagi pelajar dan penyelidik pula, kawasan ini juga menarik kerana kaya dengan flora dan fauna yang belum direkod secara terpeinci sebagai khazanah alam.

Taman Eko Rimba Sungai Bantang di Bekok juga tidak kurang menariknya yang turut menawarkan kawasan perkelahan, sungai berbatuan dengan air jernih  selain denai trekking membawa pengunjung meredah kehijauan rimba, ditemani bunyi unggas dan deruan air sungai. Suasana damai ini sukar dicari di bandar besar.


Litar ativiti lasak kenderaan pacuan empat roda di Salor Gajah sentiasa menerima pengunjung yang ingin menguji kemahiran mengendalikan kenderaan pacuan empat roda. - Kredit foto: Wikiloc.com 


Selain alam rimba, Labis turut menawarkan pengalaman unik di dusun buah-buahan. Cabin Hill Resort di Kampung Ulu Juaseh yang menyediakan kabin selesa di tengah kebun. Tidur di sini bukan sekadar bermalam, tetapi menyatu dengan suasana kampung sebenar.

Lebih menarik, pada musim durian, tetamu bukan sahaja boleh mengutip sendiri buah yang gugur, malah mereka boleh menikmati durian segar secara percuma, satu pengalaman yang  tidak boleh didapati di bandar. 

Resort ini juga menyediakan aktiviti lasak seperti flying fox, ATV, memanah dan trekking ke Bukit Tahang Rimau.

Pilihan lain ialah Sunrise Farm. Kebun buah-buahan seluas ratusan ekar ini menawarkan panorama matahari terbit yang indah. Pengunjung bukan sahaja boleh bermalam, malah menjelajah kebun sambil memetik buah-buahan tempatan.


Cabin Hill Resort menawarkan pengalaman bermalam di dusun durian kepada pengunjung.


Pemandangan waktu senja di Bukit Tahang Rimau yang menjadi salah satu pakej mendaki yang disediakan kepada pengujung Cabin Hill Resort.


Food court yang ada di sini turut menyajikan hidangan tempatan dan Barat, sesuai untuk mengisi perut selepas seharian beraktiviti. 

Bagi yang sukakan cabaran, tapak perkhemahan turut disediakan. Malam di kebun, dengan udara segar dan bintang-bintang, memberi pengalaman tersendiri.

Untuk kaki lasak, Labis tidak pernah mengecewakan. Litar 4x4 Salur Gajah di dalam Hutan Simpan Labis menjadi medan menguji kenderaan pacuan empat roda. Aktiviti penuh lumpur ini memberi kepuasan tersendiri kepada pencinta cabaran.

Selepas seharian di litar, pengunjung boleh bermalam di kawasan air terjun berhampiran. Api unggun pada malam hari, ditemani bunyi sungai dan hutan, menjadikan suasana lebih mesra dan damai.


Melihat keindahan alam ketika matahari terbit di Sunrise Farm yang menjadi salah satu lokasi tarikan pelancongan di Labis, johor. - Kredit foto: Booking.com.


Bagi pendaki pula, Gunung Besar adalah pilihan utama. Walaupun tidak setinggi gunung-gunung popular lain, ia tetap mencabar. 

Panorama dari puncak memberi rasa puas, lebih-lebih lagi apabila ditemani pemandu arah tempatan yang arif dengan laluan.

Selain keindahan alam, Labis juga menawarkan pengalaman budaya. Lebih 20 buah rumah inap desa  di bawah Program Pengalaman Inap Desa Malaysia MOTAC kendalian Koperasi Similian Felten yang membuka peluang tetamu merasai kehidupan kampung sebenar.

Di sini, tetamu boleh ikut menoreh getah, memetik buah sawit, atau sekadar duduk bersantai di beranda rumah sambil berbual dengan tuan rumah. 

Pengalaman ini membawa mereka kembali kepada kehidupan ringkas yang semakin dilupakan.


Pemandangan indah saujana mata memandang pada waktu pagi di Cabin Hill Resort Labis, Johor. 


Setiap kali musim buah tiba, Labis berubah wajah. Pekan kecil ini sibuk dengan aktiviti jual beli buah-buahan tempatan. Gerai-gerai sepanjang jalan dipenuhi durian, rambutan, manggis dan cempedak, menambah seri suasana.

Kampung-kampung tradisional seperti Kampung Tenang, Kampung Sawah Baru, serta perkampungan Felda seperti Felda Tenang dan Felda Chemplak pula menawarkan pemandangan ladang sawit, getah dan dusun buah-buahan yang membentang luas.

Akses ke Labis juga mudah. Dari arah utara, pengunjung boleh keluar di Tol Pagoh atau Tangkak. Perjalanan ke pekan ini mengambil masa sekitar sejam melalui Bukit Kepong atau Jementah. Dari arah selatan, keluar di Tol Yong Peng dan hanya perlu 45 minit memandu.


Sunrise Farm yang turut menawarkan bilik penginapan kepada pengunjung selain tapak perkhemahan di kawasan dusun buah-buahan. - Kredit foto : Booking.com

Bagi yang tidak mahu memandu, ada bas, teksi dan kereta sewa dari Segamat, Yong Peng atau Muar. Malah, kereta api elektrik (ETS) dan tren biasa turut berhenti di Stesen Labis, terus dari Johor Bahru atau Kuala Lumpur.

Dengan kedudukan yang bersempadan dengan Hutan Simpan Labis yang menganjur sehingga ke Endau, Mersing, pekan kecil ini bukan sahaja berpotensi menjadi tarikan pelancong, malah medan penyelidikan flora dan fauna.

Menjelang Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026, Labis menunggu untuk diperkenal dengan lebih giat. Pekan yang sederhana ini sebenarnya permata hijau yang mampu bersinar, destinasi yang bukan sahaja menyegarkan mata, tetapi juga menenangkan jiwa. - KitaReporters


Pemandangan waktu pagi dari puncak Gunung Besar, Labis Johor. - Kredit foto: Southern Community Adventure.

19
16
0
8
0
You will be interested