Politik & Negara 12 Dec, 2023

Komentar| HARA 2023: Satukan dunia menentang rasuah! Sukarkah zahir komitmen antirasuah di Malaysia?

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh: P/TPJ NAZLI RASYID SULONG

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Tahun ini (2023) merupakan ulang tahun ke-56 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi khusus yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang rasuah serta bertanggungjawab dalam menggerakkan inisiatif pendidikan antirasuah di negara kita. 

Ini bermakna selama usia penubuhannya jugalah, SPRM telah fokus menjalankan fungsinya untuk mencegah jenayah rasuah daripada terus berleluasa.

Namun seiring dengan perubahan zaman, teknologi dan kepintaran manusia, jenayah rasuah juga turut tidak ketinggalan mengalami revolusi. 

Jika dahulu rasuah boleh dikesan dengan mudah, kini ia lebih lutsinar dan ampuh daripada pandangan mata kasar. 

Malah bukan suatu perkara yang pelik jika transaksi rasuah boleh berlaku tanpa melibatkan pergerakan fizikal atau material untuk dibuktikan. 

Ia bukan lagi dalam bentuk wang ringgit semata, malah ia boleh menjangkau sehingga barang berharga atau mata wang maya.

Seiring jenayah yang semakin canggih dengan pelaku yang semakin licik, undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia juga sentiasa ditambah baik dan dipertingkat dari semasa ke semasa. 

Jika 10 tahun dahulu undang-undang rasuah hanya tertakluk kepada inidividu sahaja, kini telah wujud peruntukan khas untuk organisasi komersial bagi memastikan kebertanggungjawaban korporat untuk melaksanakan perniagaan dalam persekitaran yang berintegriti dan bebas rasuah.



Mendidik Masyarakat dan Individu

Sekiranya perundangan sudah diperkukuh dan mekanisme kawalan dalaman telah ditetapkan, langkah seterusnya ialah mendidik setiap individu dalam negara ini untuk memandang jijik kepada perbuatan rasuah. 

Seharusnya wujud kesepaduan dalam setiap individu untuk bersetuju bahawa rasuah itu adalah jenayah dan bukan sesuatu yang perlu dipandang dengan rasa belas kasihan atau simpati.

SPRM telah secara aktif mengambil pendekatan mendidik setiap peringkat masyarakat untuk membenci rasuah. 

Program Wira Anti-Rasuah (WAR) disasarkan khusus bagi audiens pada peringkat sekolah (rendah dan menengah) manakala Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) pula telah diadaptasi pada peringkat institusi pengajian tinggi. 

Bukan itu sahaja, bermula pada tahun ini (2023), Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) telah dilaksanakan sebagai kursus wajib dalam Matapelajaran Pengajian Umum di semua Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. 

Jadi boleh dikatakan usaha mendidik dan memberi pendedahan awal nilai positif dalam usaha menghindari rasuah ini telah jelas dilaksanakan pada peringkat awal pendidikan.

Bagaimana dengan mereka yang sudah keluar daripada sistem pendidikan? Untuk kelompok masyarakat lain, sentiasa wujud inisiatif-inisiatif memberi pendidikan pencegahan rasuah berterusan oleh SPRM.

Program libat urus dengan masyarakat diadakan secara khusus mengikut kelompok audiens. 

Contohnya, penganjuran program bersemuka bersama kelompok belia diadakan dari semasa ke semasa menerusi kumpulan atau persatuan belia. Tidak ketinggalan program bersemuka yang dianjurkan mengikut kaum (Cina dan India) sentiasa dialu-alukan.

Begitu juga kempen kesedaran yang tidak henti-henti ditayangkan di hadapan mata rakyat Malaysia. Baik mesej ingatan di lebuh raya hinggakan peringatan mesra dalam ruang maya atau ingatan ringkas pada halwa telinga, semua telah diusahakan.



Tanggungjawab Menzahirkan Komitmen

Walaupun hakikatnya sudah lebih lima dekad usaha mendidik masyarakat dilaksanakan secara menyeluruh dan proaktif, namun cabaran terhebat dalam menangani pencegahan rasuah ini ialah mendapatkan dan memelihara sokongan berterusan masyarakat umum dalam memerangi rasuah. 

Bagaimana untuk menzahirkan komitmen memerangi rasuah?

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah antara penzahiran komitmen yang paling mudah untuk dilaksanakan baik oleh sektor awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan. 

Lafaz ikrar dan janji secara sukarela oleh seluruh organisasi yang akan diketuai kepimpinannya ini bertujuan menyematkan kebertanggungjawaban dan komitmen setiap warga organisasi untuk melaksanakan tugas dengan berintegriti. 

Untuk makluman sehingga 31 Oktober 2023 sebanyak 2,049 organisasi (awam, swasta dan NGO) telah menandatangani IBR sebagai satu penzahiran komitmen antirasuah mereka.

Bagi mempelbagaikan dan menggalakkan penzahiran komitmen antirasuah daripada entiti korporat pula, insentif potongan cukai bagi pelaksanaan program integriti dan antirasuah yang melibatkan komuniti telah dilaksanakan berkuat kuasa 5 April 2021. 

Ia merupakan suatu peluang yang baik untuk syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan di Malaysia (termasuk koperasi) mengambil peluang melaksanakan aktiviti antirasuah bersama komuniti untuk menzahirkan komitmen organisasi anda.



Menyatukan Dunia Memerangi Rasuah

Tarikh 9 Disember merupakan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang telah dipersetujui 190 negara yang menyertai United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) termasuk Malaysia dengan mengangkat tema Uniting The World Against Corruption (Menyatukan Dunia Menentang Rasuah). 

Tema ini menekankan kepentingan kesatuan dan kesepaduan setiap individu dalam memerangi jenayah rasuah yang boleh memberi impak kepada keamanan, keselamatan dan pembangunan sesebuah negara.

Penting untuk setiap pihak bersatu padu dalam menentang rasuah memandangkan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) ‘rasuah’ adalah salah satu risiko yang perlu ditangani dalam memastikan pembangunan, keamanan dan kestabilan negara dapat dicapai.

Selamat Hari Antirasuah Antarabangsa! 


P/TPJ NAZLI RASYID SULONG ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


13
21
0
5
0
You will be interested