Politik & Negara 07 Jul, 2025

Saranan buat ASEAN dan BRICS! Eratkan kerjasama strategik! Demi manfaat negara-negara membangun! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Negara anggota ASEAN dan BRICS digesa terus mempererat kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim berkata, keunikan BRICS terserlah dengan penyertaan aktif sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani, menjadikan perjuangan ini bukan sekadar wacana elit tetapi gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan.

"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berkongsi aspirasi ini. Kita di Asia Tenggara memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh perdagangan intra ASEAN dan mempelopori penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan sebagai langkah konkrit ke arah sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral," jelas beliau.

BRICS pada mulanya dianggotai Brazil, Rusia, India, China and South Africa, tapi kini turut disertai Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Manakala ASEAN pula dianggotai sepuluh negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, and Vietnam, serta tidak lama lagi Timor Leste.



Anwar tiba di Rio De Janeiro, Brazil pada 5 Julai 2025 dan terus diberi penghormatan untuk bersama-sama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva untuk membuka pentas Forum Perniagaan BRICS.

Katanya, Malaysia menegaskan dengan penuh keyakinan bahawa negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai pemain pinggiran dalam sistem global. 

"Kita bukan sekadar pewaris sejarah pascapenjajahan. Kita kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia.

"Saya merakamkan penghargaan kepada Presiden Lula atas kepimpinan beliau yang berani dan berprinsip. 

"BRICS hari ini melangkaui retorik politik. Ia adalah gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bergerak seiring dalam menuntut sistem global yang lebih adil dan saksama," tegasnya.

Perdana Menteri turut menyeru reformasi besar-besaran terhadap institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) agar lebih mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara membangun, bukan terperangkap dalam struktur usang pasca-Perang Dunia Kedua.

"BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan usaha lalu sebaliknya detik kebangkitan baharu. 

"Dengan kepimpinan politik yang berwawasan, sektor swasta yang progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, kita punya peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global.

"Terima kasih Presiden Lula, kita akan teruskan momentum ini di Kuala Lumpur Oktober nanti," kata Anwar lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
10
0
10
0
You will be interested