Warisan negara tidak wajar dilihat sebagai beban masa lalu, sebaliknya aset strategik yang mampu menjana ekonomi, memacu pelancongan dan mengukuhkan ekosistem budaya serta industri kreatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Inisiatif Warisan KL mencerminkan pendekatan kerajaan dalam memastikan pembangunan bandar berlangsung secara seimbang yakni moden dan dinamik, namun tetap berakar pada sejarah, nilai dan peradaban.
"Sehubungan itu, warisan negara tidak dilihat sebagai beban masa lalu, sebaliknya aset strategik yang mampu menjana ekonomi, memacu pelancongan dan mengukuhkan ekosistem budaya serta industri kreatif," tegas beliau.
Anwar berkata demikian ketika merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pada 31 Januari 2026.
"Masa depan negara yang bermaruah dan lebih hebat hanya dapat dibina apabila kita teguh memelihara akar peradaban sendiri," katanya lagi.

Inisiatif Warisan KL ialah projek peremajaan bandar transformatif yang bertujuan menghidupkan semula kawasan bersejarah pusat bandar Kuala Lumpur melalui pemuliharaan aset warisan, placemaking, dan aktiviti kebudayaan.
Inisiatif berkenaan dilancarkan untuk memacu ekonomi dan pelancongan, dengan menghubungkan tapak ikonik seperti Dataran Merdeka, Merdeka 118, dan Carcosa Seri Negara.
Usaha juga dibuat bagi mengindahkan dan memulihara bangunan bersejarah, taman, serta landskap sungai, termasuk kawasan sekitar Stadium Merdeka, Stesen Keretapi Lama, dan Masjid Jamek.
Menurut Perdana Menteri, pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sekadar usaha membaik pulih struktur lama, sebaliknya ikhtiar menghidupkan kembali sejarah dan menjadikannya pedoman dalam membina masa depan negara.
"Bangunan ini adalah saksi perjalanan panjang Kuala Lumpur daripada pentadbiran kolonial, detik bersejarah kemerdekaan, hingga menjadi simbol kedaulatan dan identiti negara," jelasnya.

Katanya, bangunan-bangunan bersejarah mesti terus dihidupkan sebagai ruang mendidik, menyatukan dan memberi inspirasi kepada rakyat.
"Negara yang maju bukan sekadar dibina dengan kekuatan ekonomi, tetapi dengan jiwa, nilai dan penghargaan terhadap akar sejarahnya," ujar beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media