Industri pertahanan maritim negara terus dimantapkan apabila sebuah lagi Kapal Tempur Pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) TLDM dilancarkan di Limbungan Lumut Naval Shipyard (Lunas) di Lumut, Perak pada 10 Februari 2026.

Kapal yang ketiga ini dinamakan Kapal Diraja (KD) Sharif Mashor sempena pahlawan Sarawak iaitu Sharif Mashor dilancar dalam suasana penuh
gemilang oleh Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan turut disaksikan oleh Yang
di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pahlawan
Sarawak itu pernah memerintah Sarikei sebagai simbol keberanian dan semangat
juang dalam mempertahan Bumi Kenyalang.
Ini
membuktikan semangat patriotisme akan tersemat dalam sanubari setiap warga yang
mengemudi kapal ini untuk menjalankan amanah dalam menjaga sempadan maritim
negara.
Pelancaran KD Sharif Mashor itu membuktikan kebolehan dalam pembinaan aset maritim negara ke arah memperkukuh kesiapsiagaan TLDM pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam ucapannya berkata, pemilihan nama Sharif Mashor iaitu pahlawan dari Sarawak disifatkan sebagai bertepatan dengan ketokohannya yang merupakan pemerintah Sarikei yang mengawal Sungai Batang Rejang.
Beliau
berkata, pahlawan Sharif Mashor dipercayai berasal dari Igan dan berkahwin
dengan kakak Pengiran Nipa. Pahlawan Sharif Mashor yang dikenali mempunyai
semangat pertiwi yang tebal telah merancang untuk menentang pemerintahan Brooke.
“Pada tahun
1859, beliau dikaitkan dengan pembunuhan pegawai Brooke di Kanowit, sebagai
sebahagian daripada pakatan menjatuhkan kuasa Brooke.
“Semangat kepahlawanan, perjuangan, dan keberanian beliau sangat sesuai diinspirasikan dengan keupayaan kapal tempur pesisir TLDM yang mampu menangkis serangan musuh daripada pelbagai dimensi,” katanya pada majlis sempena upcara penamaan dan pelancaran kapal tempur pesisir (LCS) ketiga, KD Sharif Mashor di Lunas pada 10 Februari 2026.
Adly berkata,
bagi menghargai jasa perjuangan beliau, nama Sharif Mashor kini diabadikan dan
disematkan pada kapal yang bakal dilancarkan.
“Nama yang gah ini, akan menjadi simbol semangat perjuangan dan kekuatan armada TLDM khasnya, dan ketumbukan ATM amnya dalam mempertahan kedaulatan negara,” katanya lagi.

Fauziah Mohd Sanusi ketika melancarkan dan menamakan kapal LCS Sharif Mashor di Lumut, Perak.
Beliau berkata, peranan TLDM dan agensi maritim yang lain menjadi lebih mencabar dalam perkembangan situasi keselamatan sejagat.
Keupayaan dan kekuatan untuk menjaga kepentingan maritim, laluan strategik dan kedaulatan perairan negara dari sebarang ancaman sentiasa mendapat perhatian dan diberikan keutamaan oleh kerajaan.
Justeru itu,
katanya, perolehan kapal tempur pesisir (LCS) merupakan sebahagian daripada
perancangan strategik TLDM dalam mempersiap armadanya dengan kapal yang
canggih dan keupayaan tempur yang seimbang untuk melaksanakan operasi maritim
demi menjaga kedaulatan perairan negara.
Tegasnya, kapal
tempur pesisir ketiga ini adalah simbol kebanggaan negara kerana ia merupakan
kapal kelas frigat pertama yang dibina oleh syarikat tempatan, Lumut Naval
Shipyard Sdn. Bhd.
Menurut beliau, proses pembinaan kapal ini bermula dengan majlis perletakan lunas atau keel laying pada 29 November 2017.
“Kejayaan
ini secara tidak langsung mencerminkan keupayaan anak-anak tempatan
merealisasikan aspirasi negara untuk bersaing dalam industri berat dan industri
pertahanan pada peringkat global,” katanya.
Sehubungan
itu, beliau berkata, peranan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd sebagai pemain utama
industri maritim negara, amat penting dalam memacu pembangunan ekosistem vendor
tempatan khususnya dalam sektor pembinaan dan pembaikan kapal.
Katanya, pelaksanaan industrial collaboration programme (Program Kolaborasi INdustri atau ICP) hendaklah dimanfaatkan secara strategik, sebagai pemangkin kepadapemindahan teknologi serta peningkatan kemahiran dan kompetensi vendor yang terlibat. - KitaReporters