
Bersesuai dengan konsep fraternité (brotherhood atau persaudaraan), Asia Tenggara dan Eropah perlu merombak semula bentuk hubungan antara kedua-dua rantau tersebut agar lebih adil, setara dan saling menghormati.
"Dalam syarahan bertajuk “Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement” saya menegaskan keperluan untuk merombak semula bentuk hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah agar lebih adil, setara dan saling menghormati.
"Hubungan ini harus dibina atas dasar kesaksamaan dan kepercayaan bersama, bukan berlandaskan dominasi atau warisan penjajahan yang lama membelenggu hubungan antarabangsa," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Paris, Perancis.
Perdana Menteri telah diberikan penghormatan menyampaikan syarahan umum pada 4 Julai 2025 di Universiti Sorbonne, institusi tersohor yang bukan sahaja membentuk tamadun Perancis tetapi turut menyumbang besar kepada perkembangan pemikiran dunia moden.
Katanya, beliau turut mengangkat suara Asia Tenggara sebagai rantau yang dinamik, matang secara politik dan berkembang pesat secara ekonomi.
"Malaysia selaku Pengerusi ASEAN komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa berasaskan prinsip keamanan, kemakmuran bersama serta kedaulatan yang dihormati," jelas beliau.

Menurutnya, dalam konteks global, Malaysia telah menyuarakan keprihatinan mendalam terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza yang menuntut tindakan segera dan tegas masyarakat antarabangsa.
"Keganasan yang berterusan dan pencabulan hak asasi manusia tidak boleh lagi ditanggapi dengan sikap berdiam diri.
"Keadilan tidak boleh bersifat terpilih. Nilai hak asasi dan maruah manusia harus dilindungi untuk semua, tanpa mengira bangsa, agama atau geografi.
"Saya turut mengangkat isu Islamofobia yang semakin berleluasa di sesetengah tempat di Eropah.
"Fraternité, prinsip luhur dalam tamadun Perancis, tidak seharusnya berhenti di sempadan identiti. Ia perlu diterjemah sebagai solidariti sejagat yang menjunjung maruah dan hak semua manusia," tegas beliau lagi.

Perdana Menteri berkata, dalam dunia yang semakin terpolarisasi, beliau percaya dialog antara budaya, ketamadunan dan agama mesti terus diperkasa.
"Sejarah telah membuktikan bahawa peradaban Islam dan Barat pernah menjalin kerjasama yang membuahkan kemajuan bersama.
"Maka, tugas kita kini ialah membina semula jambatan kepercayaan, menjadikan perdagangan, teknologi dan nilai kemanusiaan sebagai medium perpaduan, bukan perseteruan.
Katanya, Eropah dan Asia adalah dua dunia yang berbeza, namun perbezaan bukan alasan untuk berpecah.
"Sebaliknya, dengan tekad dan keberanian moral, kita mampu melangkaui batas lama dan bersama-sama membentuk masa depan yang lebih adil, inklusif dan bermaruah untuk generasi akan datang," jelas beliau.

Terdahulu, Anwar berkesempatan mengadakan sesi ramah mesra bersama komuniti Islam di Perancis yang diketuai Rektor Masjid Besar Paris, Chems-eddine Mohamed Hafiz.
Pertemuan ini, katanya, membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan institusi Islam di Perancis, khususnya dalam bidang pendidikan, industri halal, dialog antara agama serta pengembangan nilai-nilai sejagat seperti keamanan, toleransi dan keadilan.
"Sebagai tanda ukhuwah, saya menyampaikan sumbangan senaskhah al-Quran cetakan khas dan 10 naskhah lagi dalam terjemahan bahasa Perancis.
"Usai pertemuan, saya bersama delegasi Malaysia turut menunaikan solat Jumaat bersama komuniti Islam di Paris," kata Perdana Menteri lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media
