Kerajaan akan memastikan hala tuju pembangunan Bandar Raya Kuala Lumpur akan menjadi lebih terancang demi memastikan Kuala Lumpur terus melangkah sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan selaras dengan nilai-nilai Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, Dato’ Fadlun Mak Ujud telah membincangkan beberapa agenda besar demi masa depan ibu negara yang lebih maju dan berdaya saing.
"Antaranya adalah usaha memperkukuh projek River of Life, menetapkan hala tuju pembangunan bandar yang lebih terancang, kelulusan One Stop Centre (OSC) dipercepat serta memperbaiki ekosistem penjaja dan peniaga kecil supaya mereka terus diberi ruang, sokongan dan peluang yang adil dalam ekonomi bandar raya," tegasnya.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Fadlun di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin, 17 November 2025.

Fadlun, bekas Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa pada 15 November 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin, kepakaran profesional dan pengalaman Fadlun sebelum ini akan memperkukuh pelaksanaan pembangunan yang lebih mampan, seterusnya memastikan Kuala Lumpur terus melangkah sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan selaras dengan nilai-nilai Madani.
"Selamat maju jaya kepada beliau dalam meneruskan tugasan serta kesinambungan kerja baik oleh mantan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, bagi terus mengangkat imej Kuala Lumpur ke tahap yang lebih gemilang dan disegani," ujarnya. - KitaReporters/Kenyataan Media
