Satu perhimpunan besar solidariti bersama Palestin dan mempertahan keamanan dunia akan diadakan pada Jumaat, 13 Mac 2026, sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur, diikuti perarakan aman menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Perhimpunan Hari Al-Quds Malaysia ini dianjurkan secara bersama oleh pertubuhan bukan kerajaan Malaysia, organisasi masyarakat sivil serta parti-parti politik sebagai satu pendirian kemanusiaan dan moral menentang kezaliman, penjajahan serta peningkatan ketegangan perang di Asia Barat.
Perhimpunan ini menyasarkan penyertaan sekurang kurangnya 10,000 peserta bagi menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin, khususnya mangsa kekejaman dan pembunuhan berterusan di Gaza, serta mempertahan kesucian Masjid Al-Aqsa dan Al-Quds yang terus berdepan ancaman dan pencabulan.
Perhimpunan ini juga menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan ketegangan dan ancaman ketenteraan terhadap Iran yang berisiko mencetuskan konflik serantau lebih luas dengan implikasi global yang sangat berbahaya.
Penganjur menegaskan bahawa peperangan hanya akan membawa penderitaan kepada orang awam yang tidak bersalah serta menggugat kestabilan keamanan dunia.

Para peserta akan berarak secara aman dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyerahkan memorandum yang menggesa kuasa kuasa dunia supaya:
- menghentikan sokongan terhadap dasar agresif dan peperangan
- mematuhi undang undang antarabangsa serta hak asasi manusia
- menghentikan peningkatan ketenteraan di rantau tersebut
- memastikan pertanggungjawaban terhadap jenayah yang berlaku di Gaza
- melindungi kesucian Masjid Al-Aqsa
Pihak penganjur juga menegaskan bahawa perhimpunan ini akan dilaksanakan secara aman, berdisiplin serta mematuhi undang-undang negara.
Semua rakyat Malaysia yang memperjuang keadilan, kemanusiaan dan keamanan dijemput untuk turut serta termasuk golongan belia, pemimpin masyarakat, pertubuhan pekerja, aktivis kemanusiaan serta seluruh warga prihatin.
Mobilisasi ini mencerminkan suara hati kemanusiaan sejagat dan pendirian rakyat Malaysia yang menolak penindasan serta peperangan.
Keadilan untuk Gaza!! Pertahankan Al-Aqsa!! Hentikan Perang!!
Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Penyelaras Perhimpunan Hari Al-Quds Malaysia 2026 dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
