
Malaysia menegaskan masa depan dunia tidak harus dibelenggu oleh pertembungan blok atau perpecahan geopolitik, sebaliknya sepatutnya dibentuk melalui semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif
"Semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengambil bahagian pada hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS pada 6 Julai 2025.
Sidang hari pertama itu memberi fokus kepada memperkukuh multilateralisme, reformasi dalam sistem ekonomi dan kewangan global, serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika.
Beliau berkata, Malaysia memandang serius senario pertembungan 'geopolitics of tech' atau teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang membawa risiko terhadap inovasi dan kestabilan bermasyarakat dan bernegara.
"Multilateralisme kini bukan lagi satu pilihan, ia merupakan keperluan mutlak untuk menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi dan kedaulatan negara-negara membangun agar tidak terus terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi.
"Dalam menghadapi realiti ini, Malaysia memilih jalan kerjasama yang berprinsip, bukan konfrontasi, selaras dengan prinsip keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat," tegasnya.

Dalam isu Palestin, Anwar turut menggesa agar dunia supaya tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.
"BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan memartabat maruah insan," ujar beliau.
Sebagai Pengerusi ASEAN, katanya, Malaysia memperjuang agenda yang selari dengan aspirasi BRICS termasuk reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil, terbuka dan berpaksikan pembangunan.
"Selain itu, Malaysia juga menyambut baik kenyataan BRICS yang menekankan tadbir urus AI berasaskan nilai etika dan kesejahteraan sejagat.
"Kita sendiri telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI dan kini memimpin inisiatif penubuhan jaringan ASEAN AI bagi memperkukuh keupayaan, ketelusan dan piawaian serantau dalam teknologi canggih ini.
"Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan BRICS dan negara-negara rakan bagi membentuk sebuah sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat dan diyakini serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi demi masa depan bersama umat manusia," kata Anwar lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media
