

"Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) bukan sekadar pemimpin negara tapi seorang guru kehidupan, seorang negarawan yang mengajar kita erti ketenangan dalam kekuatan, dan kesederhanaan dalam kebijaksanaan.
"Beliau meletakkan asas penting membina bangsa Malaysia yang berdaya tahan dengan pendekatan pembangunan insan yang seimbang antara akal dan rohani.
"Justeru, program ini bukan sahaja mahu memperingati sumbangan Pak Lah malah membuka ruang menilai semula pemikiran serta dasar-dasar beliau dalam konteks Malaysia semasa," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman; dan Naib Canselor Universiti Poly‑Tech Malaysia (UPTM) Prof. Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Sebahagian tetamu dan orang ramai yang hadir pada Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Di sebelah pagi, sesi forum yang membincangkan beberapa sisi kehebatan Pak Lah, yang memperkenal konsep Cemerlang, Gemilang, Terbilang, menampilkan tokoh-tokoh hebat yang pernah bersama bekas Perdana Menteri itu.
Antaranya, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; mantan Setiausaha Politiknya, Datuk Othman Desa; dan Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato Dr Mohd. Yusof Othman
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata jasa dan bakti Pak Lah amat besar, antaranya beliau pelopor kepada satu gagasan pemikiran yang menekankan aspek pembangunan modal insan sebagai landasan kecemerlangan generasi masa depan.
"Pak Lah sentiasa menekankan bahawa setiap insan harus diperkasa dengan ilmu, nilai moral, disiplin serta jati diri yang kukuh, sebagai teras utama pembangunan bangsa dan negara.
"Sepanjang enam tahun menerajui Kerajaan bermula 31 Oktober 2003, Pak Lah mengamalkan pendekatan yang lembut, berhemah dan berteraskan nilai-nilai Islam yang progresif.
"Saya ingat beliau pernah menyebutkan bahawa “kita boleh membina bangunan dan infrastruktur yang hebat, tetapi tanpa manusia yang berilmu, berakhlak dan berkemahiran, pembangunan itu tidak akan kekal”," katanya lagi.

Rubiah Wang.
Salah satu legasi paling agung Pak Lah ialah pengenalan konsep Islam Hadhari iaitu mengamalkan Islam secara menyeluruh, bukan aspek ritual sahaja tetapi teras urus tadbir, pembangunan ekonomi, sosial dan nilai kemanusiaan.
"Masa awal-awal pendekatan Islam Hadhari, ramai yang skeptikal terhadap konsep ini. Namun, Pak Lah membuktikan bahawa Islam Hadhari bukan retorik, terbukti ia membawa nilai Islam sebagai agama rahmat.
"Malah, konsep Islam Hadhari ini memberi penekanan terhadap prinsip-prinsip seperti pemerintahan adil dan amanah, keilmuan sebagai asas kemajuan, perlindungan hak golongan lemah, pemeliharaan alam sekitar, dan pembangunan ekonomi yang saksama.
"Alhamdulillah, hari ini, konsep ini kekal relevan dalam mendepani cabaran globalisasi, ekstremisme, dan polarisasi. Ia adalah model Islam progresif yang diterima masyarakat dunia, dan menjadi penanda aras bagi negara-negara Islam moden." katanya.


Pak Lah ketika zaman kanak-kanak bersama bapanya, Allahyarham Ahmad Badawi Sheikh Abdullah.
Hari ini, kata Ahmad Zahid, masyarakat melihat kesinambungan kepada gagasan diasaskan oleh Pak Lah itu melalui konsep Malaysia Madani yang diperkenal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh kerangka pembinaan negara bangsa yang inklusif, progresif dan berdaya tahan.
"Saya juga melihat bagaimana falsafah pembangunan insan yang dibawa oleh Pak Lah menjadi asas kepada dasar-dasar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam memperkasa pendidikan, ekonomi dan infrastruktur luar bandar.
"Sebagai kementerian yang menyambung legasi pembangunan Pak Lah, fokus kementerian saya bukan sekadar memperkasa komuniti luar bandar tetapi meningkatkan kemahiran dan pendidikan mereka selain menambah baik prasarana, sejajar dengan aspirasi Islam Hadhari dan Malaysia Madani.
"Malah usaha memperkasa TVET, mengurangkan jurang pembangunan di antara luar bandar dan bandar selain memperkukuh nilai komuniti desa adalah semangat yang Pak Lah asaskan," katanya.

Sesi forum bagi membincangkan Dasar Islam Hadhari dalam pentadbiran negara di zaman Pak Lah.
Sempena simposium ini, beliau mencadangkan agar MARA terus memartabatkan pemikiran Pak Lah dalam memperkukuh agenda Melayu dan Bumiputera:
"Pertama, MARA wajar melanjutkan legasi ini dengan membina generasi baharu Bumiputera yang teguh dalam teknikal, bernilai dan bermoral. MARA boleh membangunkan satu modul khas "Kepimpinan Pak Lah" melalui MRSM, IKM, KKTM dan GIATMARA.
"Saya juga mencadangkan MARA memperluas program pendidikan di kawasan Koridor Ekonomi Wilayah dengan mewujudkan lebih banyak Pusat Latihan Bergerak MARA yang boleh mendekati komuniti pedalaman, menyediakan latihan teknikal dan digital ke akar umbi.
"Ketiga, saya mahu MARA memperkenal satu program khas iaitu ‘Usahawan Islam Hadhari’ yang berteraskan konsep keusahawanan moden dengan nilai-nilai Islam seperti kejujuran, keadilan dan tanggungjawab sosial.
"Dan keempat, saya menyarankan MARA melalui UPTM agar menggalakkan kajian terhadap pemikiran dan corak kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya menjadi rujukan generasi muda dan mereka tidak lupa jasa pemimpin hebat seperti Pak Lah," katanya.
Ahmad Zahid berharap cadangan-cadangan itu dipertimbangkan MARA agar nama Pak Lah tidak hanya kekal dalam buku sejarah, tetapi hidup dalam dasar, tindakan dan jiwa bangsa. - KitaReporters

Pengunjung tertarik melihat galeri pameran yang diadakan sempena Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.