Politik & Negara 27 Jun, 2025

Dilucutkan tauliah! 3 Kapal Diraja yang berjasa! Penuh tradisi ketenteraan di Pangkalan TLDM Lumut!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Kapal KD Laksamana Tun Abdul Jamil

Tiga buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berjasa kepada negara dilucutkan tauliah dalam satu istiadat penuh tradisi ketenteraan yang berlangsung di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut, Perak. 

Kapal tersebut ialah Kapal Diraja (KD) Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Pendekar.

Menurut kenyataan media Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, kapal KD Laksamana Tun Abdul Jamil ialah kapal perang kelas korvet dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24. 

Dibina di Itali pada tahun 1982 untuk Tentera Laut Iraq, kapal ini tidak pernah diserahkan susulan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Perang Teluk 1990.

Malaysia kemudian membeli kapal ini pada tahun 1995 dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 28 Julai 1997. Sejak itu, kapal ini telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 486,487.1 batu nautika merangkumi pelbagai jenis eksesais dan latihan.


Anak-anak kapal KD Laksamana Tan Pusmah bergambar sebagai tanda perpisahan.

Menurut kenyataan itu lagi, KD Laksamana Tan Pusmah merupakan kapal korvet dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24 melalui sejarah perolehan yang sama. Ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Julai 1999.

Katanya, sepanjang perkhidmatannya, kapal ini aktif dalam operasi pengawasan maritim, rondaan pengawasan, menjalani latihan di peringkat tempatan dan antarabangsa serta penguatkuasaan undang-undang maritim negara.

KD Laksamana Tan Pusmah telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 315,907.6 batu nautika.


Anak-anak kapal yag bertugas di KD Pendekar

Kapal KD Pendekar pula merupakan kapal dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama (FAC 1) dan antara platform tempur permukaan terawal dalam perkhidmatan TLDM. Dibina di Sweden, kapal ini dilancarkan pada 11 November 1978 dan ditauliahkan pada 21 Ogos 1979.

“Sepanjang lebih empat dekad perkhidmatan, KD Pendekar telah melaksanakan pelbagai operasi termasuk rondaan pengawasan, penguatkuasaan maritim serta eksesais bilateral dan multilateral.

“Kapal ini telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 820,077.64 batu nautika dan menjadikannya antara aset TLDM yang paling banyak beroperasi di lautan,” menurut kenyataan itu pada 5 Jun 2025.



Istiadat penuh tradisi tentera laut tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain.

Kemuncak acara adalah ketukan loceng dan penurunan gada-gada bagi KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Pendekar sebagai menjadi simbolik penamatan tauliah dan status aktif kapal-kapal tersebut yang telah banyak berjasa dalam menjaga kedaulatan perairan maritim negara.

Kenyataan itu turut menyebut, ketiga-tiga kapal yang dilucutkan tauliah telah menabur bakti dalam pelbagai misi operasi dan eksesais sejak mula memasuki perkhidmatan.

Ia termasuk operasi rondaan perairan tempatan, pelaksanaan eksesais dalam negara dan antarabangsa serta penugasan khas dalam misi bantuan kemanusiaan serta pelbagai tugasan diplomasi pertahanan.

“Pelucutan tauliah bagi ketiga-tiga kapal ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan armada TLDM, selaras dengan Program Transformasi TLDM 15-to-5.

“Program ini diwujudkan bagi mendapatkan pulangan pelaburan yang terbaik seiring dengan peningkatan keupayaan

TLDM dalam memenuhi keperluan mempertahan kedaulatan serta integriti wilayah maritim negara,” kata kenyataan itu lagi. - KitaReporters


19
9
0
13
0
You will be interested