Bisnes & Ekonomi 05 Jul, 2024

Ops Tiris 3.0! KPDN Terengganu rampas 25k liter minyak diesel dan 2 tangki! Bernilai lebih RM111k!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu, merampas sejumlah 25,000 liter minyak diesel dan dua buah skid tank (tangki gelongsor) dengan anggaran nilai keseluruhan RM111,750 dalam satu serbuan, Ops Tiris 3.0 yang dijalankan di sebuah tapak projek kawalan hakisan pantai di Kampung Mengabang Kapal, Kuala Nerus, Terengganu

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan yang dilakukan oleh lapan orang anggota dan pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu bersama lapan orang anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kira-kira jam 2.30 petang pada 3 Julai 2024 itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama seminggu  terhadap syarikat projek kawalan hakisan pantai itu sebelum serbuan dijalankan.

Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati pihak kontraktor tersebut gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi kejadian.



Menurut Saharuddin, dianggarkan terdapat lebih kurang 25,000 liter minyak diesel di dalam kedua-dua buah tangki gelongsor yang ditempatkan di tapak projek tersebut. 

Sehubungan itu, seorang lelaki warga tempatan, berumur 25 tahun, yang disyaki menjadi penyelia di tapak projek tersebut  telah ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan mereka yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh

didenda tidak lebih RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan media.

Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, dan bagi kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta, menurutnya, 



Saharuddin berharap, masyarakat akan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutama berhubung aktiviti penyelewengan

Beliau berkata, ini bagi memastikan aktiviti haram membabitykan barang kawalan bersubsidi ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mengakibatkan impak negatif kepada rakyat dan negara. 

KPDN juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan, selainmempertingkat aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui WhatsApp bernombor 019-848 8000. - KitaReporters


 

15
14
1
10
0
You will be interested