JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘FH 1 hingga FH 9999’ sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Dalam Talian, JPJeBid bermula 1 Februari 2026 (Ahad).
Serentak dengan pelancaran itu, bidaan awam itu dibuka selama lima hari dan akan berakhir pada jam 10 malam, 5 Februari 2026 (Khamis), bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan nombor pendaftaran eksklusif berkenaan.

Aedy Fadly Ramli
Pengenalan siri ‘FH’ membawa makna simbolik sempena penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya selain menghargai peranan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dalam pembangunan negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan bidaan akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas bidaan ditutup, dengan tarikh pengumuman dijadualkan pada 6 Februari 2026.
Beliau berkata, harga bidaan melalui sistem JPJeBid adalah mengikut kategori nombor yang ditetapkan bermula dengan nombor bernilai utama atau golden pada harga minimum RM20,000.
"Kategori lain termasuk nombor premium dengan harga minimum RM5,000, nombor menarik RM2,500, nombor popular RM500 dan nombor biasa atau running pada harga RM300.

Mohd Sakeri Abdul Kadir (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Aedy Fadly Ramli mengenai Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘FH.
“Kaedah bidaan ini tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui sistem JPJeBid,” katanya pada sidang media selepas melancarkan NPI siri ‘FH’ sempena Hari Wilayah Persekutuan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi.
Menurutnya, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan selepas surat keputusan rasmi dikeluarkan.

Pelancaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘FH 1 hingga FH 9999’ dilakukan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
"Pelaksanaan bidaan ini memberi peluang kepada orang ramai memiliki nombor pendaftaran eksklusif yang diperkenal khusus sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.
"Program itu dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan melalui JPJ sebagai usaha memperluas penggunaan sistem bidaan nombor pendaftaran secara dalam talian yang lebih telus dan mudah diakses.
"Bidaan dalam talian bagi siri ‘FH’ akan ditutup tepat jam 10 malam pada 5 Februari 2026 sebelum keputusan diumumkan keesokan harinya," katanya lagi.

Aedy Fadly berkata, siri tersebut dipilih bagi melambangkan kepentingan Wilayah Persekutuan khususnya Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara, selain Kuala Lumpur dan Labuan yang turut menyumbang kepada pembangunan nasional.
"Orang ramai sepatutnya memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan nombor pilihan masing-masing melalui platform JPJeBid yang boleh diakses secara mudah dan selamat.
"Saya juga berharap pembida mematuhi semua syarat ditetapkan serta memastikan nombor yang berjaya dibida didaftarkan dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan pembatalan hak pemilikan," katanya. - KitaReporters

Antara Nombor Pendaftaran Istimewa siri FH yang akan menjadi rebutan orang ramai terutama peminat kenderaan.