Bisnes & Ekonomi 24 Feb, 2026

Belum dikuatkuasakan! Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika belum diratifikasi! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) masih belum berkuat kuasa kerana tertakluk kepada proses ratifikasi menurut undang-undang sedia ada, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Selain itu, katanya lagi, sehingga kini, pihak Amerika belum mengemukakan cadangan tarif untuk diratifikasi, justeru perkara ini masih tertangguh.

"Kerajaan juga tidak akan bertindak terburu-buru, sebaliknya akan meneliti secara menyeluruh kepentingan serta implikasinya terhadap ekonomi negara," tegas beliau.

Perdana Menteri menegaskan penjelasan ini semasa Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2026 susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang mengisytiharkan tarif-tarif diperkenal oleh Presiden AS, Donald Trump sebagai tidak sah.



Mahkamah Agung AS, pada 20 Februari 2026, telah membatalkan dasar utama Trump yang mengenakan tarif import global tanpa kelulusan Kongres.

Dalam keputusan 6-3, mahkamah itu memutuskan bahawa Trump telah menyalahgunakan 'International Emergency Economic Powers Act' (IEEPA) 1977 untuk mengenakan tarif import.

Hakim‑hakim menyatakan bahawa IEEPA tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif secara unilateral, sekali gus mengesahkan keputusan mahkamah rendah yang sudah menyatakan tindakan itu tidak sah.

Tarif tersebut sebelum ini dikenakan terhadap banyak negara, termasuk China, UK, Mexico, Jepun, Kanada, negara EU dan Malaysia serta beberapa ekonomi lebih kecil seperti Lesotho dan Syria.



Sementara itu, bercakap pada Mesyuarat Pengurusan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Anwar menegaskan kementerian berperanan penting dalam memperkukuh industri tempatan, menarik pelaburan serta meningkatkan daya tahan perdagangan negara.

Menurutnya, mesyuarat turut meneliti dasar utama Kerajaan bagi memperluas peluang pekerjaan kepada warga tempatan dan mempertingkat kebolehsaingan industri. 

"Saya tekankan agar setiap dasar dipantau dan dinilai semula secara berkala supaya kekal relevan dengan kemajuan teknologi serta realiti semasa, demi memastikan matlamat pembangunan negara tercapai," tambahnya. - KitaReporters


10
12
0
10
0
You will be interested