Bisnes & Ekonomi 18 Feb, 2026

Misi Sampul Merah! SWM Kasih santuni warga emas sempena Tahun Baharu Cina! Untuk kongsi kegembiraan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Program SWM Kasih santun komuniti, dengan menyantuni 18 orang warga emas di Rumah Sejahtera Bukit Baru, Kampung Bukit Pulau, bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina. 


Antara wajah-wajah ceria penghuni warga emas Rumah Sejahtera Bukit Baru di Kampung Bukit Pulau ketika diraikan pada Program SWM Kasih Misi Sampul Merah sempena Tahun Baharu Cina anjuran SWM Environment di rumah kebajikan berkenaan. 


“Program SWM Kasih Misi Sampul Merah ini merupakan inisiatif tahunan SWM Environment sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap kebajikan golongan warga emas yang memerlukan menjelang musim perayaan,” kata Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin. 

Beliau berkata, sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, SWM Environment memilih untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan warga emas yang kurang bernasib baik agar mereka turut merasai kemeriahan perayaan dalam suasana penuh kasih sayang.

Program SWM Kasih Santun ini dianjurkan oleh SWM Environment dengan kerjasama Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Negeri Melaka, Daerah Melaka Tengah, dan telah diserikan dengan kehadiran Datuk Ridhwan Mohd Ali, Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Negeri Melaka dan Norzaki Md Nor, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka. 


Ridhwan Mohd Ali (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kit makanan kepada para penghuni Rumah Sejahtera Bukit Baru pada Program SWM Kasih Misi Sampul Merah sempena Tahun Baharu Cina anjuran SWM Environment.


“Melalui pelaksanaan Program SWM Kasih, kami sentiasa komited menghulurkan bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. 

Usaha ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban, malah memperkukuh nilai kemanusiaan sejajar dengan usaha menyokong agenda kesejahteraan rakyat dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk, seiring dengan aspirasi pembangunan sosial yang inklusif. 

“SWM Environment sedia tampil dalam menyokong inisiatif kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada golongan warga emas yang memerlukan. 

"Diharapkan sumbangan ini dapat membawa keceriaan dan membantu para penerima menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana yang lebih bermakna,” katanya lagi. 


Tetamu yang hadir turut sama menyertai upacara menggaul yee sang pada Program SWM Kasih Misi Sampul Merah sempena Tahun Baharu Cina anjuran SWM Environment. 


Sebagai syarikat konsesi bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan turut menghargai kerjasama semua pihak dalam mengekalkan kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan bersama. - KitaReporters/Kenyataan Media

8
11
0
12
0
You will be interested