Oleh PROFESOR DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melarang warga asing daripada membeli minyak masak peket bersubsidi merupakan langkah yang munasabah dan berpihak kepada kepentingan rakyat.

Dasar ini perlu dilihat sebagai usaha memastikan subsidi kerajaan digunakan dengan betul dan sampai kepada kumpulan sasaran.
Minyak masak peket dijual pada harga rendah kerana kerajaan menanggung sebahagian besar kosnya. Peruntukan subsidi ini datang daripada hasil negara dan cukai rakyat Malaysia.
Tujuan utama subsidi ini adalah untuk membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, supaya kos memasak dan perbelanjaan dapur kekal terkawal.
Namun, apabila minyak masak peket turut dibeli oleh warga asing, bekalan menjadi cepat habis.
Keadaan ini menyebabkan rakyat sendiri menghadapi kesukaran mendapatkan minyak masak bersubsidi dan terpaksa membeli minyak masak pada harga yang lebih tinggi.
Bayangkan seorang makcik yang tinggal di flat kos rendah. Setiap minggu beliau ke kedai runcit berhampiran untuk membeli barangan dapur asas.
Apabila minyak masak peket tiada, beliau terpaksa membeli minyak botol yang jauh lebih mahal.
Bagi isi rumah kecil, perbezaan harga ini memberi kesan besar kepada perbelanjaan harian.
Manakala bagi keluarga B40, minyak masak peket bukan sekadar pilihan tetapi keperluan asas.
Jika terpaksa membeli minyak masak komersial yang lebih mahal, mereka perlu mengurangkan perbelanjaan lain seperti keperluan sekolah anak, makanan berkhasiat atau simpanan kecemasan.

Tanpa kawalan yang jelas, barangan bersubsidi mudah disalah guna. Terdapat kes pembelian berlebihan, penggunaan untuk tujuan perniagaan dan aktiviti yang menyimpang daripada tujuan asal subsidi.
Keadaan ini menjejaskan keadilan dalam pengagihan dan menyebabkan golongan yang benar-benar memerlukan terpinggir.
Langkah KPDN ini bertujuan memastikan minyak masak peket sampai kepada rakyat yang layak dan digunakan selaras dengan objektif subsidi.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengutamakan kebajikan rakyat dalam pengurusan subsidi.
Warga asing masih boleh membeli minyak masak komersial yang dijual di pasaran terbuka.
Langkah yang diambil hanyalah untuk memastikan subsidi yang dibiayai wang rakyat Malaysia dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.
Pendekatan ini selari dengan amalan banyak negara lain yang mengutamakan rakyat dalam pengagihan subsidi barangan keperluan asas.

Larangan warga asing daripada membeli minyak masak peket merupakan langkah praktikal dan bertanggungjawab.
Ia membantu memastikan rakyat mudah mendapatkan barangan asas, mengurangkan ketirisan subsidi dan melindungi golongan yang paling terkesan dengan kos sara hidup.
Bagi rakyat biasa, matlamatnya mudah. Apabila masuk ke kedai runcit, minyak masak peket masih ada di rak dan harganya masih mampu dibeli.
Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali ialah Profesor, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Presiden Persatuan Muamalat Malaysia (MMA). Artikel ini adalah pandangan penulis.
