PELABURAN dalam ilmu dan pembangunan kemahiran terbukti bukan satu kerugian, sebaliknya menjadi aset jangka panjang kepada pekerja dan organisasi, khususnya dalam industri peruncitan yang semakin mencabar dan kompetitif.

Seorang staf 99 Speedmart menerima Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan daripada Dr Roslee Rajikan (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Yong Eng Kwang (kiri).
Kerjasama strategik antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan 99 Speedmart yang bermula sejak tahun 2020 kini sudah memasuki tahun keenam, dengan seramai 715 kakitangan 99 Speedmart berjaya menamatkan program Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan.
Pencapaian itu mencerminkan kepercayaan tinggi syarikat terhadap nilai ilmu dan latihan berstruktur sebagai asas kepada kelestarian organisasi, selain meningkatkan keupayaan tenaga kerja di peringkat operasi dan pengurusan.
"Pelaburan dalam ilmu bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah memberi pulangan jangka panjang kepada syarikat dari segi produktiviti, kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan.
"Walaupun dunia perniagaan menuntut komitmen masa dan tenaga yang tinggi, pembelajaran sepanjang hayat kekal relevan dan penting dalam membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta kehendak pasaran," kata Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart Retail Holdings Berhad, Yong Eng Kwang.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM bersama 99 Speedmart di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 6 Februari 2026.
Majlis graduasi itu dirasmikan oleh Pro Canselor UKM, Proferosr Datuk Dr Roslee Rajikan. Turut hadir, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof Dr Mohd Azlan Shah Zaidi.

Yong Eng Kwang
Yong menganggap majlis graduasi itu melambangkan komitmen berterusan universiti awam di Malaysia dalam menjalin kerjasama strategik bersama industri bagi memperkasa pembangunan modal insan negara.
"Kerjasama strategik antara UKM dan 99 Speedmart yang sudah memasuki tahun keenam dan pencapaian itu mencerminkan kepercayaan tinggi syarikat terhadap nilai ilmu dan latihan berstruktur sebagai asas kepada kelestarian organisasi.
"Ia juga meningkatkan keupayaan tenaga kerja pada peringkat operasi dan pengurusan. Justeru, 99 Speedmart merancang dua pengambilan baharu Program Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan pada Mac dan Julai 2026, membabitkan sehingga lima kelas bagi setiap pengambilan.
"Secara keseluruhan, sebanyak 10 kelas dijangka dilaksanakan sepanjang 2026 dengan anggaran penyertaan seramai 350 peserta, sekali gus memperluas peluang peningkatan kemahiran kepada lebih ramai warga kerja syarikat," katanya.


Pengorbanan staf 99 Speedmart mengikuti pembelajaran selama dua tahun berbaloi apabila mereka menamatkan pengajian di Majlis Graduasi Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan.
Beliau turut memaklumkan, 99 Speedmart yang mencatat pencapaian sebagai syarikat peruncitan nombor satu di Papan Utama Bursa Malaysia pada 2024, melihat pembangunan modal insan sebagai tanggungjawab besar selaras komitmen terhadap agenda Environmental, Social and Governance (ESG).
"Bagi tempoh 2023 hingga 2026, jumlah pelaburan syarikat dalam latihan dan pembangunan modal insan mencecah lebih RM12 juta, dengan hampir RM4 juta diperuntukkan khusus bagi Program Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan.
"Pelaburan ini mencerminkan kesungguhan kami menyediakan laluan pembelajaran yang tersusun, berimpak tinggi dan diiktiraf, sejajar dengan keperluan industri peruncitan masa kini.
"Saya berterima kasih kepada UKM sebagai rakan strategik yang signifikan dalam membangunkan ekosistem pembelajaran peruncitan yang lebih sistematik, berstandard dan relevan dengan keperluan industri," katanya.

Staf 99 Speedmart yang mengikuti kelas di Jalan Kebun mengabadikan foto kenangan selepas Majlis Graduasi Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Sementara itu, Dr Roslee Rajikan berkata, program itu adalah manifestasi jelas peranan universiti sebagai rakan industri dalam pembangunan modal insan negara. Ia juga selaras agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Program ini memberi ruang kepada tenaga kerja sektor peruncitan meningkatkan kompetensi profesional tanpa menjejaskan komitmen kerjaya sedia ada.
"Saya juga berbangga kerana program itu kini memasuki kumpulan keempat, manakala kumpulan kelima dijadualkan bermula pada Mac 2026, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan tinggi industri terhadap kualiti program UKM.
"Kejayaan graduan hari ini bukan sekadar pengiktirafan akademik, malah membawa tanggungjawab untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran bagi memperkukuh prestasi organisasi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara mampan.
"Penganjuran program ini sekali gus membuktikan kerjasama erat antara universiti dan industri mampu melahirkan tenaga kerja peruncitan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," katanya. - KitaReporters

Sebahagian staf 99 Speedmart yang hadir di Majlis Graduasi Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bersama 99 Speedmart di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 6 Februari 2026.