Oleh KHALID NOORSHAH
Sejak sekian lama para pesawah terjerumus dalam paradoks yang membebankan kehidupan -- pesawah menanam padi tetapi masih membeli beras; menghasilkan makanan tetapi terperangkap dalam sistem hutang dan harga pasaran.

Padi salibu Kampung Ewa, Langkawi nampak cantik.
Kini beberapa orang pesawah di Kedah mengorak langkah keluar daripada kitaran ganas itu bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak ekonomi dan tuntutan pasaran tetapi dengan niat membayar zakat padi melalui pembangunan Model Padi Zakat Halalan Tayyiban.
Pengasas Ecopro Training Centre Perlis, Dr. Mahamad Hakimi Ibrahim, seorang daripada tiga penasihat teknikal dan pemantau program itu di Kampung Ewa, Langkawi berkata, wawasan Model Padi Zakat Halalan Tayyiban bukan sekadar projek pertanian bahkan melahirkan ekosistem yang bebas dan bermaruah untuk pesawah.
Dua lagi penasihat teknikal dan pemantau program itu ialah pakar padi organik negara, Zakaria Kamantasha daripada Sri Lovely Organic Rice Farm dan pengasas Pertubuhan Amal Masyarakat Prihatin (PAMP) Langkawi, Musthaqim Zaini sebagai Ketua Pelaksana Projek padi organik Kampung Ewa.

Dr. Mahamad Hakimi Ibrahim

Musthaqim Zaini dan Zakaria Kamantasha, penasihat teknikal daripada Sri Lovely Organic Rice Farm, Sik Kedah.
Ecopro Training Centre -- Kebun Abi Kangar Perlis ialah tempat latihan tanam padi zakat halalan tayyiban untuk orang ramai termasuk pertanian dan penternakan organik, manakala kerjasamanya dengan PAMP Langkawi dan agensi-agensi kerajaan ialah bagi program pertanian dan penternakan organik bagi peringkat komersial.
Menurut Dr. Mahamad Hakimi, model itu ialah satu sistem pertanian bersepadu yang menyatukan ibadah iaitu niat zakat mal (zakat harta) sejak awal penanaman, kemandirian petani, ekonomi bebas riba dan manipulasi harga, agroekologi dan biodiversiti serta pembangunan komuniti asnaf.
“Model ini dihadirkan bagi membangunkan semula kehidupan pesawah melalui zakat dan agroekologi untuk mengembalikan maruah pesawah sebagai pengeluar makanan sebenar, bukan sekadar petani kontrak dalam sistem yang tidak adil,” kata beliau, yang juga bekas Profesor Teknologi Persekitaran di Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Proses melandak di mana rumput ditonyoh dan dibenam ke dalam sawah untuk jadi baja hijau.
“Objektif program ini ialah menghidupkan zakat mal dalam bentuk hasil sebenar -- padi/beras -- bukan sekadar nilai wang; petani tidak lagi membeli beras untuk keluarga sendiri; membina ekosistem pertanian bebas riba, bebas daripada manipulasi harga dan bebas input merosakkan; melatih asnaf menjadi pengeluar aktif dalam ekosistem makanan dan menghasilkan padi organik halalan tayyiban yang memelihara alam persekitaran tanah, air dan kesihatan masyarakat,” katanya.
Menurut Dr. Mahamad Hakimi, antara ciri-ciri sistem halalan tayyiban ialah benih bebas dan dikawal komuniti, tanpa racun kimia sintetik, menggunakan baja semula jadi dan boleh jana semula atau regeneratif, harga adil tanpa paksaan sistem, bebas riba dan telus dalam agihan zakat.
Ini menjadikan zakat bukan sekadar kewajipan tetapi sebahagian daripada sistem hidup.
Beliau berkata, pelaksanaan Model Padi Zakat Halalan Tayyiban ialah di bawah naungan dan kerjasama Exco Pertanian Kedah, Dzowahir Ab. Ghani dengan rakan-rakan strategik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Jabatan Pertanian Kedah (JPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah bagi memastikan program itu bergerak dalam kerangka rasmi dan tersusun.

Salah satu daripada 3 jentera Kubota yang dibekalkan oleh Exco Pertanian Kedah.
Katanya, program itu dimulakan kira-kira lima bulan lalu di mana 10 orang ahli PAMP yang pada asalnya tiada pengalaman dalam penanaman padi dihantar ke Sri Lovely Organic Rice Farm bagi mengikuti latihan intensif tiga hari merangkumi asas agroekologi, pengurusan tanah terbiar, kaedah organik tanpa racun kimia sintetik dan integrasi sistem semula jadi.
“Kawasan awal pelaksanaan model itu ialah di tanah sawah seluas 5 relung di Kampung Ewa yang sebelum ini terbiar selama enam tahun dan akan diperluas berperingkat-peringkat sehingga merangkumi kawasan yang diperuntuk seluas 100 relung yang disewakan oleh penduduk kampung kepada kerajaan negeri.
“Dalam model ini, PAMP Langkawi berperanan sebagai amil zakat dan zakat beras diagihkan secara terus kepada asnaf menjadikan beras yang diagihkan itu adalah hasil sebenar daripada sawah komuniti.
"Keistimewaan program ini ialah zakat bukan sekadar angka tetapi menjadi makananan nyata di tangan penerima,” katanya.
Menurut Dr. Mahamad Hakimi, penyediaan tanah telah mengambil masa 3 bulan di mana tanah dan sumber air diaudit, peserta diberi latihan agroekologi di lapangan dan fikah zakat tanaman serta penubuhan Tabung Benih Warian iaitu antara 10% hingga 20% disimpan daripada hasil tuaian.
Katanya, antara amalan utama bagi penanaman organik regeneratif pula ialah menghasilkan kompos dan biochar sendiri, itik sawah sebagai kawalan perosak, tidak menggunakan racun kimia sintetik, manakala benih disimpan dan diguna semula supaya tanah semakin subur dan kos input menurun serta pada masa yang sama mengembalikan biodiversiti.
Beliau berkata, para pesawah itu akan memproses padi sendiri di kampung melalui mesin proses padi mini maka kelebihannya ialah tiada potongan berat padi berpuluh-puluh peratus, tiada manipulasi gred, dedak menjadi makanan ayam dan itik mendorong kepada nilai tambah kekal dalam komuniti.

Dr. Mahamad Hakimi (kiri) bersama mesin padi mini dan dua peserta Model Padi Zakat Halalan Tayyiban.
Pendek kata dari jual gabah pada harga murah beras dijual pada harga premium.
“Dengan model ini, pesawah boleh makan hasil sendiri, zakat pula dibayar dalam beras sebenar, lebihan hasil menjadi pendapatan bersih dan komuniti memiliki stok keselamatan makanan.
"Kesannya kepada pesawah ialah mereka boleh kurangkan hutang input, memutuskan kitaran harga paksa, mewujudkan pertukaran halal dalam komuniti dan pesawah menjadi penentu nilai, bukan mangsa sistem.
“Unsur-unsur ini menggabungkan aqidah dan syariah di mana padi di tanam sebagai ibadah, pembayaran bukan sekadar transaksi sebaliknya sebagai sistem hidup, manakala aspek halalan tayyiban difahami secara menyeluruh melalui pelaksanaan sistem penanaman dan pengurusan hasil serta pengagihan zakatnya,” tambah beliau.

Hasil akhir berupa 1kg beras merah jenis Ruby dalam bungkusan vakum.
Menurut Dr. Hakimi, peserta Model Padi Zakat Halalan Tayyiban di Kampung Ewa turut mengamalkan teknik penanaman padi salibu iaitu teknik budidaya tanaman padi yang memanfaatkan tunas dari sisa tunggul pokok padi yang telah dituai sebelumnya bagi menghasilkan tanaman baru tanpa perlu mengolah semula tanah dan menanam benih padi baru.
“Melalui teknik padi salibu, pesawah menjimatkan kos kerana tidak perlu biaya bagi membeli benih baru, menyediakan tapak semaian baru, mengolah tanah dan menanam semula, malah disebabkan tunas tumbuh dari buku pokok padi pada kadar yang cepat, pesawah boleh menuai hasil antara tiga hingga empat kali setahun dan ini tentunya membantu mereka menambah pendapatan masing-masing,” katanya. - KitaReporters