Bisnes & Ekonomi 28 Feb, 2026

Tutup ketirisan minyak masak bersubsidi! Guna eCOSS! KPDN tingkat penguatkuasaan terhadap peruncit!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan komitmen tegas Kerajaan untuk menutup sepenuhnya ruang ketirisan subsidi di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) melalui pelaksanaan pendekatan kawalan dan penguatkuasaan yang menyeluruh, termasuk penggunaan eCOSS serta inisiatif pemantauan bersepadu di sepanjang rantaian bekalan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram. 



Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan subsidi minyak masak yang diperuntuk benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat yang layak, di samping melindungi kepentingan pengguna dan mengawal kos sara hidup secara mampan. 

“Pelaksanaan COSS tidak bergantung kepada satu mekanisme semata-mata, sebaliknya disokong oleh ekosistem kawalan menyeluruh yang merangkumi pendaftaran dan pelesenan pemain industri, perekodan transaksi secara digital, pengesanan pergerakan bekalan (traceability) serta pemantauan berterusan daripada peringkat pengilang, pembungkus dan pemborong sehingga ke peringkat peruncit. 

“Pendekatan ini menutup ruang manipulasi, penyelewengan dan kebocoran subsidi secara sistematik dan berasaskan bukti. 

"Melalui pelaksanaan COSS dan eCOSS, KPDN memperkukuh tadbir urus subsidi dengan membolehkan pengesanan awal ketidakpatuhan serta tindakan penguatkuasaan diambil secara lebih pantas dan bersasar,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada 27 Februari 2026. 

Beliau menambah, penggunaan aplikasi Mobile eCOSS pada peringkat runcit turut diperluas bagi merekodkan transaksi jualan secara terus di premis perniagaan, sekali gus menutup ruang penyelewengan termasuk menghalang pembelian oleh warga asing pada peringkat akhir rantaian bekalan. 

Menurutnya, mulai 1 Mac 2026, KPDN akan mempertingkat tindakan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong atau mana-mana pihak dalam rantaian bekalan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang, termasuk pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, penyahaktifan profil peruncit dalam sistem eCOSS serta pendakwaan di mahkamah tanpa kompromi. 

“Di bawah peruntukan undang-undang tersebut, individu yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. 

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Bagi syarikat, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM5 juta,” tambahnya. 



Jelas beliau, berdasarkan rekod penguatkuasaan bagi tempoh 2024 hingga Februari 2026, KPDN telah merekodkan sebanyak 940 kes berkaitan penyelewengan dan ketidakpatuhan pengedaran minyak masak bersubsidi, dengan 755 tangkapan dilaksanakan di seluruh negara. 

“Statistik ini mencerminkan ketegasan Kementerian dalam memastikan pematuhan undang-undang dilaksanakan tanpa kompromi. 

“KPDN yakin bahawa dengan penguatkuasaan berterusan akan terus menutup ruang ketirisan subsidi, memperkukuh integriti pengurusan bantuan Kerajaan dan memastikan minyak masak paket bersubsidi dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat yang benar-benar layak, selaras dengan prinsip Kerajaan Madani yang menekankan kecekapan, integriti dan keadilan sosial," tegas Dr. Fuziah. - KitaReporters/Kenyataan Media


6
12
0
7
0
You will be interested