Selaras dengan komitmen berterusan terhadap usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, Spritzer Berhad, jenama air mineral semula jadi terkemuka Malaysia, telah berbesar hati menerima lawatan daripada para penghuni dan sukarelawan Rumah Amal Cheshire Pulau Pinang ke Spritzer EcoPark.

Lawatan ini membuka ruang kepada mereka untuk menikmati pengalaman berteraskan alam semula jadi dalam persekitaran taman yang direka bentuk dengan ciri mesra orang kurang upaya (OKU).
Spritzer EcoPark yang terkenal sebagai taman mesra kerusi roda bagi menyediakan akses kepada semua, membolehkan individu kurang upaya bergerak dengan selesa di sekitar taman.
Program menyantuni komuniti yang diadakan dalam persekitaran hijau dan semula jadi ini mengukuhkan lagi komitmen syarikat terhadap kesejahteraan serta usaha membina hubungan bermakna bersama komuniti yang kurang mendapat perhatian di Malaysia.
“Persekitaran semula jadi yang tenang di Spritzer EcoPark menawarkan pengalaman yang menyegarkan kepada para pengunjung, membolehkan mereka bebas meneroka kawasan taman bersama-sama, berkongsi detik ceria dan menyertai aktiviti rekreasi mengikut keselesaan masing masing.
"Kami menyaksikan bagaimana alam semula jadi berupaya memupuk kegembiraan, hubungan erat, dan keyakinan dalam kalangan individu yang mungkin jarang berpeluang menikmati aktiviti rekreasi di luar.

"Sebagai jenama tempatan Malaysia, kami sentiasa mengutamakan inklusiviti dan cara kami menyampaikan khidmat kepada komuniti sekeliling dalam setiap urusan kami.
"Kami mengalu-alukan kunjungan sukarelawan dan penghuni Rumah Amal Cheshire Pulau Pinang ke Spritzer EcoPark kerana ia mengingatkan kami bahawa pengalaman alam semula jadi yang dikongsi bersama serta akses yang mudah merupakan cara terbaik untuk memupuk rasa kekitaan serta mengangkat martabat golongan ini yang sering dilupakan.
"Ia merupakan satu hari yang amat bermakna, di mana kami makan tengah hari bersama-sama, mencuba pelbagai aktiviti baharu dan berinteraksi secara tulus dalam persekitaran yang mesra dan selamat,” kata Ketua Perhubungan Awam Spritzer, Winnie Chin.

Sukarelawan dan penghuni rumah amal, termasuk yang kurang upaya, berpeluang menyertai aktiviti seperti golf mini dalam persekitaran yang selamat, mudah diakses, dan selesa sambil menikmati kehijauan taman.
“Lawatan seperti ini sememangnya sangat bermakna buat para penghuni dan sukarelawan kami, kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk keluar daripada rutin harian sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
"Kami amat menghargai akses serta kemudahan yang disediakan di Spritzer EcoPark, yang membolehkan pengunjung beriadah dengan selasa, beramah mesra antara satu sama lain dan mencipta kenangan indah bersama.
"Inisiatif seperti ini penting dalam usaha memupuk kefahaman yang lebih mendalam, inklusiviti, serta hubungan dalam kalangan komuniti,” ringkas daripada Presiden Rumah Amal Cheshire Pulau Pinang, Andrew Koay Say Loke.
Berpegang teguh kepada komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti setempat, Spritzer percaya bahawa alam semula jadi harus dikongsi dan dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan, latar belakang atau keadaan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada aktiviti amal syarikat yang berterusan dalam usaha mencipta detik kebersamaan yang meraikan kepelbagaian dalam persekitaran di mana rakyat Malaysia boleh menikmati aktiviti luar bersama-sama.
Lawatan ini bukan sahaja melambangkan tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi turut mencerminkan kepercayaan dan komitmen Spritzer dalam usaha membina komuniti berteraskan rakyat.

Lawatan tersebut melibatkan seramai 93 peserta, termasuk penghuni kurang upaya dan sukarelawan, yang disambut mesra dengan jamuan makan tengah hari sebelum menyertai aktiviti golf mini di kawasan taman.
Direka agar interaktif dan menyeronokkan untuk semua, aktiviti itu menggalakkan penglibatan aktif serta mengeratkan hubungan antara peserta dalam suasana yang selamat, selesa dan kondusif.
Spritzer turut mengiktiraf sumbangan berterusan Rumah Amal Cheshire Pulau Pinang sejak tahun 1978 yang menyediakan penjagaan kediaman, rehabilitasi serta pembangunan kemahiran kepada individu kurang upaya fizikal.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Spritzer dalam usaha memperjuangkan inklusiviti, kesejahteraan dan hubungan bermakna di kalangan masyarakat.
Seterusnya, Spritzer EcoPark berharap dapat menerima kunjungan daripada menganjurkan lebih banyak kumpulan komuniti dan meneruskan misinya dalam mewujudkan pengalaman bersama yang meraikan kepelbagaian, di samping mengeratkan hubungan sosial melalui aktiviti berasaskan alam semula jadi. - KitaReporters/Kenyataan Media

Spritzer EcoPark mengalu-alukan kunjungan sukarelawan dan penghuni Rumah Amal Cheshire Pulau Pinang.