Di sebalik kilauan merah sebuah Ferrari F8 Spider yang bernilai lebih RM1.1 juta, tersingkap satu kisah tentang bagaimana helah penyeludupan cuba memperdaya pihak berkuasa.

Awal pagi 8 Januari 2026 lalu, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Taiping, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak bergerak ke Shah Alam, Selangor selepas risikan dijalankan.
Di sebuah lokasi yang tidak disangka, mereka menemui kereta mewah itu yang dipercayai dibawa masuk dari Langkawi menggunakan kemudahan pengecualian duti.
Namun, kemudahan yang sepatutnya dimanfaatkan secara sah didakwa disalahgunakan.
Pemangku Pengarah Kastam Negeri, Suzana Sarif berkata, nilai kereta tersebut dianggarkan RM1.1 juta dengan duti dan cukai mencecah RM2.2 juta.
“Modus operandi ialah menyalahgunakan kemudahan pengecualian duti di bawah Seksyen 14 Akta Kastam 1967,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Taiping pada 27 Februari 2026.
Beberapa hari kemudian, pada 15 Januari 2026, satu lagi helah terbongkar. Sebuah Honda Civic FD yang dipercayai kereta klon dirampas di Serdang, Kedah. Kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran Malaysia bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Nilai rampasan dianggarkan RM50,000 dengan duti dan cukai hampir RM100,000," katanya.
Sementara itu, di kawasan lapang Kuala Gula, Perak, sebuah MPV Toyota Estima ditemui ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.
Apabila diperiksa, kenderaan itu menyimpan 80,000 batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam.
Bagi anggota penguat kuasa, ia bukan sekadar angka rampasan – 80,000 batang rokok bernilai RM9,600 dengan anggaran duti RM53,760 itu membawa makna lebih besar. Ia mencerminkan ketirisan hasil negara yang boleh menjejaskan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Suzana Sarif (tiga dari kiri) bertanyakan sesuatu mengenai rokok putih yang dirampas dalam sebuah MPV Toyota Estima di Kuala Gula, Perak di pejabat Cawangan Penguatkuasaan Kastam Taiping.
Sepanjang Januari 2026 sahaja, jumlah keseluruhan nilai rampasan dan cukai dianggarkan mencecah RM3.6 juta.
Menurut Suzana, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda berat atau penjara jika sabit kesalahan.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyeludupan bukan sekadar kesalahan undang-undang, malah memberi kesan langsung kepada keselamatan dan ekonomi negara.
“Setiap batang rokok yang diseludup, setiap kenderaan yang dibawa masuk tanpa cukai, adalah kerugian kepada negara,” katanya.
Di sebalik operasi dan rampasan itu, mesejnya jelas –- penguatkuasaan mungkin tidak selalu kelihatan, tetapi ia sentiasa berjalan demi memastikan hasil negara dilindungi dan undang-undang ditegakkan. - KitaReporters