
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 di Putrajaya pada Jumaat, 27 Februari 2026.

Mohd Syafiq menjelaskan bahawa sasaran syarikat adalah untuk memperoleh sekitar 70 hingga 80 peratus pendapatan daripada sektor swasta dan bukan kerajaan, manakala selebihnya daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta kontrak kerajaan.
Ketika ini, sektor pengurusan fasiliti muncul penyumbang terbesar dengan nilai mencecah kira-kira RM400 juta dan menyumbang sekitar 30 peratus kepada keseluruhan operasi syarikat.
Sektor pembinaan pula yang masih baharu merekodkan nilai lebih RM100 juta, namun dilihat berpotensi besar untuk berkembang sebagai sumber pendapatan jangka panjang.
“Secara keseluruhan, kedua-dua segmen berkenaan merangkumi kira-kira 70 peratus hasil syarikat, manakala baki 30 peratus disumbangkan oleh perniagaan pengiklanan media dan acara,” katanya.
Mengulas hala tuju tahun semasa, beliau menegaskan VFive tidak merancang untuk menceburi perniagaan baharu, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor sedia ada.
“Kita mahu memperkukuh asas terlebih dahulu sebelum mengembangkan cabang baharu pada masa depan,” katanya.

Mohd Syafiq Abdullah (tengah) mengaminkan doa sempena Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 di Putrajaya.
Menurut Mohd Syafiq, perancangan jangka panjang VFive digerakkan melalui lima pemacu utama yang menjadi kerangka baharu organisasi.
Lima pemacu itu merangkumi strategi arah tuju, kecemerlangan operasi, kemampanan kewangan, kepimpinan dan bakat serta tadbir urus dan integriti.
Di bawah strategi arah tuju, syarikat memberi fokus kepada pembangunan portfolio berasaskan aset dan model konsesi bagi menjana pendapatan berulang yang lebih stabil.
Dalam aspek operasi pula, penggunaan inovasi dan teknologi pintar akan diperluas merentasi keseluruhan kitaran projek bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti pelaksanaan.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah organisasi banyak bergantung kepada modal insan, justeru pembangunan bakat menjadi antara agenda utama syarikat.“Antara langkah dilaksanakan termasuk latihan dalaman secara berkala, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada barisan kepimpinan serta program pembinaan pasukan dua kali setahun,” katanya.
VFive juga menggabungkan tenaga kerja sedia ada dengan kemasukan bakat baharu yang berpengalaman bagi mewujudkan struktur kepimpinan yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Seiring pertumbuhan syarikat, jumlah kakitangan meningkat ketara daripada sekitar 200 hingga 300 orang tahun lalu kepada kira-kira 1,000 orang ketika ini.

Mengulas kebajikan pekerja, Mohd Syafiq berkata, peruntukan imbuhan tahun ini kekal seperti tahun sebelumnya dan akan ditentukan berdasarkan prestasi semasa sektor masing-masing.
Dalam pada itu, VFive turut memperuntukkan kira-kira RM25 juta bagi yayasan syarikat sebagai sebahagian komitmen berterusan terhadap tanggungjawab sosial (SR).
Menurut beliau, keseluruhan kerangka strategi jangka panjang syarikat diinspirasikan daripada lima Rukun Islam yang menjadi asas kepada pembentukan budaya kerja berteraskan integriti, disiplin dan komitmen.
“Matlamat kita bukan sekadar kejayaan jangka pendek tetapi membina sebuah konglomerat yang mampu kekal relevan untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang,” katanya. - KitaReporters
