Bisnes & Ekonomi 07 Aug, 2024

Kerjasama strategik Kopetro dengan UPM! Kongsi kepakaran, teknologi! Latihan industri, pekerjaan!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Dewan Taklimat Serdang, Bangunan Canselori Putra, UPM. 

Majlis tersebut menyaksikan perjanjian pelbagai bentuk kerjasama yang dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, termasuk dalam pelaksanaan aktiviti berasaskan ilmu pengetahuan, penerimaan pelajar siswazah dan pascasiswazah untuk latihan industri dan penyelidikan, serta peluang pekerjaan bagi graduan UPM.

Usaha sama antara Kopetro dan UPM ini turut merangkumi perkongsian sumber manusia, pertukaran maklumat kepakaran, serta penggunaan teknologi dan fasiliti UPM dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. 

Kerjasama ini juga akan melibatkan perniagaan-perniagaan Kopetro dalam sektor Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Peruncitan, serta Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan koperasi tersebut. 



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kopetro, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam usaha Kopetro untuk memanfaatkan kepakaran akademik dan teknologi yang dimiliki UPM, dan menyediakan peluang yang lebih luas kepada graduan UPM untuk memasuki dunia pekerjaan. 

Perkara ini sekali gus bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak untuk jangka masa panjang.

“Kami melihat kolaborasi ini sebagai satu peluang untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, di mana UPM akan menyediakan fasiliti dan kepakaran mereka, manakala Kopetro akan memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam industri. 

"Ini adalah satu usaha bersepadu yang tidak hanya akan memberi manfaat kepada kami, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya,” kata Ahmad Shakir. 

Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan aktiviti berasaskan ilmu pengetahuan yang memanfaatkan kedua-dua pihak, penerimaan pelajar siswazah dan pascasiswazah dari UPM untuk tujuan latihan industri dan penyelidikan, serta penawaran peluang pekerjaan graduan UPM ke Kopetro. 

Selain itu, ia melibatkan perkongsian sumber manusia dan pertukaran maklumat kepakaran, pengetahuan, dan kemahiran, serta perkongsian teknologi dan fasiliti UPM dalam pembangunan, pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan bagi kemudahan penggunaan oleh kumpulan sasar.



MoU tersebut ditandatangani Wan Ahmad Tarmizi Wan Abdul Rahman, Naib Pengerusi Kopetro, dan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UPM. 

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah dan Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin, Pengarah Pusat Hubungan dan Jaringan, dari pihak UPM. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
19
0
12
0
You will be interested