Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad (FGV) sudah boleh memulakan semula operasi di ladang di tanah-tanah yang diusahakan di negeri Terengganu hasil pendekatan konstruktif dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

"Hasil perbincangan yang positif membolehkan FGV memulakan semula operasi ladang hari ini seperti dipersetujui.
"Perkembangan ini memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka," jelas Felda dan FGV dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Selasa, 9 Disember 2025.
Menurut kenyataan itu, Felda dan FGV mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berhubung perkembangan rundingan mengenai tanah-tanah yang diusahakan di negeri tersebut.
"Kami amat menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026.
"Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara," ," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Felda dan FGV memandang serius notis-notis amaran pendudukan secara tidak sah atau kesalahan menceroboh di Daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman, Terengganu yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November, 1 dan 2 Disember 2025.
Kerajaan Negeri Terengganu dilaporkan telah mengeluarkan notis-notis amaran yang memberikan tempoh tiga (3) hari untuk Felda dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman yang ada di semua tanah rancangan Felda dan FGV d negeri berkenaan.

Dengan penarikan notis terbabit, Felda dan FGV kini dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan. Kepastian ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja, malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.
"Felda dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen dan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional.
"Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhirnya kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi Felda sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahan," menurut kenyataan itu lagi. - KitaReporters