Bisnes & Ekonomi 27 Jul, 2023

Sokong usahawan bakeri dari rumah! Golongan asnaf dan B40! Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) mengumumkan permulaan Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s dengan edisi khas untuk usahawan bakeri dari rumah daripada golongan asnaf dan B40. 

Melalui kerjasama dengan Taylor’s Education Group (Taylor’s) dan disokong oleh Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, edisi keenam ini akan memberi para peserta pendedahan terhadap latihan teknikal dan ilmu perniagaan untuk meningkatkan kualiti produk bakeri sedia ada mereka, di samping menerokai idea baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka agar dapat memasuki pasaran perniagaan yang lebih luas. 

Melalui modul yang dicipta khas untuk para peserta, mereka akan diberikan akses kepada dapur bertaraf komersial yang merupakan sebahagian daripada program ini dan akan diberikan peluang untuk mendapat bimbingan daripada chef yang berpengalaman dari Taylor’s Culinary Institute (TCI). 

Pengalaman yang bakal mereka perolehi akan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan para peserta dalam bidang kulinari, di samping meningkatkan lagi pemahaman mereka akan selok belok industri. 


Ahmad Shahriman Mohd Shariff (barisan pertama, kelima dari kiri), Loy Teik Ngan (barisan pertama, keenam dari kiri) bersama wakil-wakil dari CIMB Islamic, Taylor’s and Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia serta para peserta program pada majlis permulaan edisi khas Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s, menyasarkan usahawan bakeri dari rumah yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40. 


Di samping memperoleh kemahiran teknikal dan ilmu perniagaan, peserta juga akan dibekalkan dengan peralatan dapur bernilai RM500 pada permulaan program untuk memastikan agar mereka dilengkapi dengan peralatan secukupnya untuk mengikuti latihan amali. 

Tambahan pula, mereka akan diberi suntikan tifoid yang merupakan sebahagian daripada pembelajaran asas keselamatan dan pengendalian makanan. 

Ini merupakan sebahagian daripada pembelajaran asas mengenai kaedah keselamatan dan pengendalian makanan yang akan memberi peserta pendedahan tentang piawaian pengendalian makanan, termasuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai risiko kesihatan yang berkaitan dengan makanan. 

Sebuah majlis untuk menandakan kemasukan kumpulan terbaharu ini berlangsung di Taylor’s University yang dirasmikan oleh Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic; dan Dato’ Loy Teik Ngan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengerusi Eksekutif, Taylor’s. Wakil-wakil dari CIMB Islamic, Taylor’s dan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia juga turut hadir untuk menyempurnakan majlis tersebut. 



Ahmad Shahriman berkata, “Memupuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah sangat penting untuk memastikan daya tahan usahawan mikro dalam mengharungi ekosistem perniagaan yang mencabar. 

"Oleh itu, kami berbesar hati untuk memperkenal edisi khas yang menyasarkan usahawan bakeri dari rumah yang dapat memanfaati ilmu daripada modul yang diberikan melalui Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s. 

"Kerjasama yang bermakna bersama Taylor’s ini telah dijalinkan sejak tahun 2017 di mana seramai 500 peserta telah mendapat latihan dengan kos pelaburan melebihi RM3 juta yang merangkumi latihan dan pemantauan, serta pemberian geran. 

"Kami berasa sangat gembira kerana dapat melihat sokongan utuh yang diberikan oleh para alumni terhadap peserta baharu melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang telah mereka perolehi. 

"Ini merupakan dorongan utama untuk menjadikan program ini berdaya tahan dengan sendirinya pada masa akan datang. 

“Kami berharap program ini akan terus membantu menaikkan taraf hidup para peserta, di samping menjadi pembakar semangat untuk mereka terus mengembangkan perniagaan mereka. 

"Ini adalah selaras dengan prinsip pengantaraan berasaskan nilai (VBI) di mana kami memainkan peranan yang utuh demi menjana usaha berimpak positif jangka panjang yang memberi manfaat terhadap masyarakat dan komuniti sekeliling,” ujar Shahriman. 

Loy pula berkata, “Sebagai salah satu institusi pendidikan terkemuka di Malaysia, Taylor’s sentiasa berada di barisan hadapan dalam memajukan ilmu pengetahuan melalui pendidikan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat. 

"Kami amat teruja kerana dapat meneruskan kerjasama dengan CIMB Islamic untuk terus menjayakan program ini dan kami yakin bersama, kami akan terus memacu ke arah meningkatkan daya tahan usahawan-usahawan mikro, terutama mereka yang terdiri daripada golongan yang memerlukan.” 

Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan mikro yang terdiri daripada komuniti yang memerlukan dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka melalui program pembinaan kapasiti dan sokongan pembiayaan. 

Edisi khas usahawan bakeri dari rumah ini adalah susulan tamat program kumpulan kelima yang menyaksikan seramai 33 usahawan menamatkan program tersebut dan geran berjumlah RM154,817 telah diagihkan. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
13
0
10
0
You will be interested