
Kompleks kilang Farm Fresh di Perak kini melakar kejayaaan apabila mengeluarkan 22,000 liter susu segar sehari setelah beroperasi di Pondok Tanjung, Selama, Perak sejak 2019.
Ketua Pengarah Operasi (COO) Farm Fresh Azmi Zainal berkata,kilang ini beroperasi di kawasan seluas 828 ekar ladang di Selama itu mempunyai 4,300 ekor lembu yang menghasilkan 10 juta liter susu setahun.
"Ia merupakan ladang susu terbesar dan paling produktif di negara ini.
"Kejayaan syarikat diukur sejauh mana syarikat itu mampu membawa manfaat kepada komuniti dan kejayaan pelaburan tenusu di sini (Pondok Tanjung) menjadi pemangkin tranformasi di luar bandar," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Kompleks Farm Fresh Pondok Tanjung di Selama Perak pada 16 Ogos 2025.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmi berkata, ladang ini mempunyai 150 orang pekerja tempatan yang sebahagian besarnya berusia di bawah umur 30 tahun.
Selain mengeluarkan susu sendiri, Azmi berkata, syarikat itu juga membeli susu daripada penternak kecil tempatan pada harga yang kompetitif.
Azmi berkata, kilang di sini mengeluarkan susu segar, aiskrim dan mentega (butter).

Anwar Ibrahim menyerahkan komputer riba kepada seorang pelajar si Kompleks Farm Fresh di Pondok Tanjung, Perak.
Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan biasiswa kepada 500 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.
"Selain itu akan melaksanakan program tuisyen matematik untuk sekolah rendah," ujarnya.
Menurut Azmi, Farm Fresh yang beropersi pada 2009 dengan 60 ekor dan kini mempunyai tujuh ladang ternakan dengan 16,000 ekor lembu, lima kilang pemprosesan di negara ini dan di Filipina. - KitaReporters