Bisnes & Ekonomi 05 Jun, 2024

Tak guna bahasa Melayu! Utamakan bahasa Cina dan Inggeris! Syarikat Greenverse Holding mohon maaf!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this


SYARIKAT Greenverse Holding yang terpalit dengan isu kontroversi kerana tidak menggunakan bahasa Melayu dalam satu majlis perasmian Projek Kilang Rawatan Sisa Pepejal Berjadual Bersepadu di Kerteh, Kemaman, Terengganu tampil memohon maaf.

Pengarah Urusan Greenverse Holding, Datuk Alex Heng Sia Kwang berkata, pihaknya mengakui kesilapan tersebut kepada semua rakyat Malaysia terutama Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili selaku perasmi majlis berkenaan. 

“Syarikat kami menzahirkan perasaan dukacita atas isu yang dibangkitkan oleh (orang ramai) dalam media sosial kerana kesilapan kami tidak mengunakan bahasa Melayu pada paparan sewaktu keterlibatan Yang Berhormat (Ir Saiful Azmi) dalam majlis tersebut. 

“Kesilapan ini adalah tidak disengajakan kerana pihak kami sangat teruja untuk meraikan majlis tersebut yang dirancang dalam masa singkat dengan jemputan yang terhad kepada rakan-rakan perniagaan terdekat sahaja,” jelasnya dalam satu kenyataan media.


Majlis Perasmian Syarikat Greenverse Holding di Kertih yang menggunakan bahasa CIna


Alex Heng berkata, pihaknya berjanji perkara itu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan dan kesilapan tersebut akan menjadikan mereka lebih matang dalam meraikan sesuatu program syarikat.

“Komitmen kami untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan memberikan manfaat kepada masyarakat di Kerteh tidak terkesan dan akan terus dipertingkat.

“Kami mengambil maklum segala komen yang negatif dan positif dalam kami membina hubungan terbaik di dalam perniagaan kami,” jelasnya.

orang ramai khususnya Penduduk Negeri Terengganu mempersoal penganjuran majlis tersebut kerana menggunakan bahasa Cina sepenuhnya.

Netizen menganggap tindakan itu tidak wajar dan menuntut penjelasan penganjur kerana bahasa rasmi di Malaysia adalah bahasa Melayu. 


IR Saiful Azmi Suhaili


Dalam pada itu, projek yang mendatangkan pelaburan sebanyak RM247 juta dijangka mampu membuka lebih 700 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat, sekali gus akan menjadi pemangkin ekonomi kawasan berkenaan. 

Syarikat tersebut, mengumumkan rancangan pembinaan Kilang Rawatan Sisa Pepejal Berjadual Bersepadu di Kerteh Biopolymer Park (Taman Biopolimer Kerteh), yang dijangka mewujudkan  lebih 700 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Kesihatan negeri, Ir Saiful Azmi, menyatakan bahawa kilang tersebut akan menjadi pemangkin ekonomi kawasan berkenaan. 

Menurutnya, projek itu mendapat sokongan kuat daripada rakan kongsi utama, China Hyway Group Limited, sebuah syarikat antarabangsa yang berpengalaman dalam pelbagai bidang industri.

“Dengan pelaburan sebanyak RM247 juta, kilang ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Fasa pertama dijadualkan siap pada pertengahan tahun 2025, manakala fasa kedua dijangka siap pada tahun 2028,” katanya.

Beliau berharap agar Greenverse Holding dapat memastikan segala perjalanan operasi syarikat berjalan lancar dan sempurna dalam mengurus sisa terjadual secara menyeluruh, dengan menumpukan kepada penyelesaian ‘Cradle-to-Cradle’ (C2C). - KitaReporters


9
8
1
13
0
You will be interested