Bisnes & Ekonomi 29 Feb, 2024

Anugerah E50 2024! Pencarian 50 PMKS terbaik bermula! Tarikh tutup pencalonan pada 30 Jun 2024!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: gamalnasir@gmail.com

Share this


Pencarian 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia kini bermula selepas pelancaran program anugerah berprestij, Enterprise 50 atau lebih dikenali sebagai Anugerah E50 oleh SME Corp. Malaysia. 

Program Anugerah E50 2024 dengan tema 'Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia' telah dilancarkan oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral, pada 27 Februari 2024. 

Mula diperkenal pada tahun 1997, Anugerah E50 telah mendapat pengiktirafan industri sejak dua dekad yang lalu sebagai salah satu platform yang berkredibiliti dan menjadi rebutan bagi melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan keusahawanan. 

Meraikan tahun ke-24 penganjurannya, Anugerah E50 yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini dianjurkan bersama oleh SME Corp. Malaysia dan Deloitte Malaysia, dengan kerjasama daripada rakan strategik seperti YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, KLIATV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, Astro Malaysia Holdings Berhad, Malaysia SME, Telekom Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad. 



Dalam ucapannya menekankan kepentingan kelestarian serta amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan PMKS, Ewon berkata “Melangkah ke hadapan, PMKS perlu melengkapi operasi perniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian melalui penerapan amalan ESG iaitu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus.

"Sehubungan itu, selain anugerah khas sedia ada iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50, satu Anugerah Khas Baharu diperkenal di bawah Program Anugerah E50 pada tahun ini (2024) iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50. 

"Anugerah ini diperkenalkan bagi memperakui Syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan."

Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dalam ucapan aluannya berkata "Sehingga kini, program ini telah menarik seramai 2,225 peserta dan telah mengiktiraf 763 pemenang. 

"Daripada pemenang E50 yang lalu, sebanyak 67 syarikat telah berjaya disenaraikan dalam pasaran modal, yang menambah lagi prestij anugerah ini."

Sementara itu, Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia menyatakan, "Anugerah ini telah berjaya mempromosi dan menonjolkan PMKS yang berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran global dalam semangat keusahawanan sejati selain meningkatkan penampilan syarikat. 

"Anugerah E50 tahun ini amat signifikan dalam mengiktiraf PMKS yang berdaya tahan terutama dalam mengharungi ekonomi global yang makin mencabar." 



Bagi tahun ini, syarikat perlu mengemukakan pencalonan mereka secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan Insentif PMKS (MyBPI) sebelum tarikh tutup pada 30 Jun 2024. 

Syarat kelayakan Anugerah E50 adalah: 

  • Memenuhi definisi PMKS dan diperbadan di Malaysia dengan sekurang kurangnya 40% ekuiti tempatan; 
  • Mendapat penarafan 4 dan 5 bintang di bawah SCORE; 
  • Tidak disenaraikan di Bursa Malaysia; 
  • Mempunyai penyata kewangan beraudit 3 tahun terkini; dan 
  • Anak syarikat tidak layak jika Syarikat Induk mengambil bahagian. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anugerah E50, sila layari laman sesawang, www.e50.com.my. 

Hadir sama semasa majlis pelancaran Anugerah Enterprise 50 2024 ialah Dato' Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Dato' Seri Suriani Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP. - KitaReporters/Kenyataan Media


15
13
0
12
0
You will be interested