Bisnes & Ekonomi 27 Aug, 2023

Syabas Pos Malaysia! Sumbang lebih RM80k kepada Tabung Amanah KKM! Menerusi khidmat Ubat Melalui Pos!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan Malaysia telah menyumbangkan lebih RM80,000 iaitu lima peratus hasil kutipan melalui perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun 2023 untuk memanfaatkan Tabung Amanah Pembiayaan Kos Rawatan, Ubat-ubatan dan Peralatan bagi Rawatan Pesakit Kanser, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pos Malaysia dengan bertujuan untuk membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan untuk meneruskan rawatan mereka. 

Dato' Seri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, berkata, “Bagi tempoh 2012 hingga Jun 2023, Pos Malaysia telah menyumbang sebanyak RM708,783.56 dan sejumlah RM617,393.20 telah dibelanjakan untuk rawatan pesakit kanser dari seluruh Malaysia khususnya di Institut Kanser Negara dan Hospital Kuala Lumpur yang merupakan fasiliti kesihatan KKM rujukan utama bagi rawatan kanser." 

Beliau menyambung, “Melalui sumbangan ini, pelbagai peralatan perubatan dibeli untuk membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan. Antara peralatan perubatan yang dibeli ialah chemo port, oxygen concentrators, pleural & peritoneal indwelling catheters, infusion pump dan sebagainya. 

"Bagi Januari sehingga Jun 2023, sebanyak 360,922 bungkusan telah dihantar melalui perkhidmatan UMP. Hasil daripada perkhidmatan ini, sebanyak RM84,276.70 akan disalurkan kepada Tabung Amanah.” 


Zaini Yahman (kiri) dan Norazman Ayob.


Perkhidmatan UMP telah dilancarkan pada tahun 2011 dengan menawarkan penghantaran ubat-ubatan susulan ke lokasi pilihan pesakit dalam lingkungan kawasan pungutan dan serahan PosLaju dengan bayaran yang minimum. 

Perkhidmatan ini memberi kemudahan kepada pesakit untuk menerima bekalan ubat mereka terus di lokasi pilihan tanpa perlu ke fasiliti kesihatan KKM (hospital dan klinik kesihatan), sekali gus mengurangkan masa menunggu di fasiliti kesihatan KKM. 

Perkhidmatan ini juga memastikan kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit tanpa gangguan dan meningkatkan tahap pematuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan mereka. 

Zaini Yahman, Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad berkata, “Pos Malaysia amat berbangga kerana dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuh usaha KKM untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan bagi setiap rakyat Malaysia melalui perkhidmatan UMP. 

"Menggunakan rangkaian luas kami yang menjangkau lebih 11 juta alamat di seluruh negara, kami berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada Pos Malaysia untuk membawa perubahan dalam kehidupan ramai pesakit." 

“Secara puratanya, Pos Malaysia menghantar 60,000 bungkusan sebulan dan kami sentiasa komited dalam memastikan penghantaran ubat ini selamat serta tepat pada masanya kepada pesakit. 

"Tanggungjawab kami bukan hanya menghantar bungkusan semata-mata, namun, kami juga menyampaikan harapan kepada mereka yang memerlukannya. 

"Perkhidmatan ini menggambarkan komitmen kami sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab kepada masyarakat serta sentiasa memacu kepada pembangunan inovasi ke tahap yang lebih baik, dan kami juga berharap dapat meneruskan usaha ini bagi meningkatkan taraf kehidupan demi membina masa hadapan yang lebih baik," tambahnya. 



Pos Malaysia menonjol sebagai penanda aras dalam bidang perkhidmatan penghantaran, menawarkan komitmen yang tiada tandingan terhadap kecekapan dan prestasi penghantaran tepat masa yang cemerlang. 

Dalam Tinjauan Cabaran Kurier 2022 yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengukur prestasi dalam kalangan syarikat kurier di Malaysia, prestasi penghantaran Pos Malaysia berada pada tahap 96 peratus berbanding purata industri sebanyak 78 peratus. 

UMP kini boleh didapati di 394 fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara. 

Orang ramai yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini boleh memuat turun aplikasi mudah alih MyUbat melalui Google Play, App Store atau AppGallery, atau mendapatkan maklumat lanjut di mana-mana farmasi fasiliti kesihatan KKM. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
9
0
11
0
You will be interested