Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan didaftarkan sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan
"MCMC ingin memaklumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah Lesen ASP(C).
"Ini bermakna penyedia-penyedia tersebut akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming)," jelas satu kenyataan MCMC pada 15 Disember 2025.

Kata kenyataan itu, langkah ini untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Pendekatan ini, katanya lagi, juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 lalu bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
"Selain itu, inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga," tegas MCMC.

Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini dilaksanakan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Menurut kenyataan MCMC, penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
"Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa.
"Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
"MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutama bagi kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia," jelas MCMC.

Maklumat terperinci tentang pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh melalui laman sesawang MCMC di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQ_Pelaksana an-Peruntukan-Deeming_15-Disember-2025.pdf. - KitaReporters/Kenyataan Media