Selepas Modenas dan Aveta, kini Malaysia mengeluarkan motosikal buatan tempatan ketiga, AFAZ yang bakal merancakkan lagi dunia permotoran motosikal negara.

Terkini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 15 Januari 2026, telah menerima penyerahan motosikal nasional AFAZ Kencana Sport, hasil kerjasama strategik industri tempatan dan antarabangsa yang berteraskan dasar Automotive Manufacturing 2 (Pengilangan Automotif 2 atau AM-2).
"Kerjasama syarikat industri tempatan dan rakan teknologi antarabangsa ini bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan, mengukuhkan kepakaran kejuruteraan tempatan dan menggerakkan rantaian industri bernilai tinggi dalam negara.
"Saya percaya, inisiatif ini melambangkan keyakinan terhadap kemampuan anak tempatan dan usaha berterusan kerajaan dalam membina ekonomi yang lebih kukuh, berdaya saing dan mampan," jelas beliau.

AFAZ Kencana Sport 115 ialah model motosikal sulung daripada AFAZ, jenama motosikal nasional ketiga Malaysia selepas Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), dan Aveta Global Marketing Sdn Bhd (Aveta).
Motosikal jenis kapcai ini merupakan hasil kerjasama strategik antara syarikat tempatan AFY Mobility Industries (AMI) dan syarikat gergasi Jepun, Suzuki Motor Corporation.
Kata Anwar, Kerajaan Madani akan terus berusaha membawa Malaysia melangkah ke hadapan dalam membina industri motosikal yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
"Kita juga merancang membuat persediaan bagi menghadapi masa depan yang berpaksikan keupayaan tempatan, disokong kerjasama global dan dipandu aspirasi nasional," tambah beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
