Bisnes & Ekonomi 21 Jul, 2024

Lagi satu projek Rumah Selangorku! Koop Sahabat lancar Shorea Garden di Puchong! Bermula RM275k!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Ewon Benedick (dua dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran projek perumahan mampu milik Rumah

Selangorku Shorea Garden semasa Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada 18 Julai 2024.


Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) melancarkan perumahan mampu milik Rumah Selangorku Shorea Garden bersempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan (HKNWP'24) oleh Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, Projek Rumah Selangorku Shorea Garden ini merupakan projek pembangunan usaha sama antara Koop Sahabat dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS). 

Sebanyak 230 unit dibuka untuk jualan pada harga bermula RM275,000.

Projek pembangunan berkenaan bakal dibangunkan di atas tanah seluas 10 ekar di Puchong dengan anggaran nilai pembangunan kasar bernilai RM63.8 juta dengan kemudahan asas seperti 2 unit tempat letak kenderaan, pusat komuniti, serta pondok kawalan keselamatan.

Penganjuran HKNWP'24 tahun ini mempunyai kelainan di mana menerusi New Strategic Initiatives (NSI) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan (SKMWP) dengan menyasarkan Pembangunan Hartanah bagi Projek Pembinaan Rumah Mampu Milik telah berjaya dicapai hasil daripada peluncuran projek ini. 

Program ini merupakan inisiatif SKMWP bersama Koop Sahabat bagi memberi galakan kepada koperasi untuk menceburi bidang Pembangunan Hartanah yang menarik untuk diterokai.


Ewon Benedick (tiga dari kiri) menunjukkan tanda bagus selepas menyempurnakan gimik pelancaran projek

perumahan mampu milik Rumah Selangorku Shorea Garden.


Antara projek lain yang bakal dilancarkan oleh Koop Sahabat adalah Projek Integrasi Residensi Prihatin dan Residensi Prihatin, di Presint 5 Putrajaya yang diberi nama Residensi Serunai.  

Selain itu, berikut merupakan antara projek-projek yang akan datang Koop Sahabat iaitu projek pembangunan Rumah SelangorKu Jenis Trio sebanyak 1,210 unit dan 244 unit kondominium di Bukit Bandaraya Shah Alam.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat turut menzahirkan rasa syukur dan terharu kerana Koop Sahabat telah diiktiraf sebagai koperasi ke-2 terbaik di Wilayah Persekutuan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan pada majlis yang sama. 

Pengiktirafan ini merupakan tahun yang ke enam, Koop Sahabat berada dalam kedudukan 10 Koperasi terbaik di Malaysia.

Pengiktirafan ini juga berdasarkan kecemerlangan dalam urus tadbir dan peningkatan prestasi yang direkodkan pada tahun semasa, sekali gus menyaksikan Koop Sahabat merupakan sebuah koperasi yang diyakini dan berdaya saing di negara ini.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Anggota Lembaga Koperasi serta semua anggota Koop Sahabat atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan selama ini," kata Mohd Najib lagi.



Terdahulu Koop Sahabat telah mengumumkan pengagihan kadar dividen pada tahun kewangan 2023 sebanyak 10 peratus kepada anggotanya dan berhasrat untuk mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaannya bagi memberi pulangan dividen pada kadar yang terbaik pada tahun-tahun mendatang dan seterusnya memberi manfaat kepada lebih 450,000 orang anggota. - KitaReporters/Kenyataan Media

18
9
0
9
0
You will be interested