Mohd Anzara Azizan (tengah) melihat mangga harumanis pada salah sebuah gerai semasa Ops Harumanis II di Lebuh Raya Kuala Perlis ke Chuping.
SANGGUP tutup gerai. Inilah sikap peniaga mangga harumanis yang dikesan berbuat demikian kerana bimbang disaman kerana melanggar undang-undang.
Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, Mohd Anzara Azizan.
Beliau mengetuai Operasi Harumanis II pada 7 Mei 2024 dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, FAMA bekerjasama dengan agensi-agensi ini bagi memperkasa lagi Operasi Harumanis II kali ini.
Mohd Anzara (kanan) bersama agensi terbabit semasa Ops Harumanis II di sepanjang Lebuh Raya Kuala Perlis ke Chuping.
"Ia dilaksanakan bagi menjaga kualiti dan nama harumanis, mangga yang menjadi ikon negeri Perlis," katanya selepas operasi yang dijalankan di sepanjang Lebuh Raya Kuala Perlis ke Chuping.
Katanya, hanya tujuh sahaja gerai harumanis yang dibuka semasa operasi ini dilaksanakan sedangkan jumlah sebenar lebih daripada itu.
Mohd Anzara berkata, antara yang dikesan pada operasinya antaranya peniaga masih gagal mempamerkan tanda harga dan gred mangga harumanis.
Selain itu, katanya, ada peniaga yang telah dikesan kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat. "Ada peniaga dikesan masih menggunakan alat timbang yang lupus tarik pada tahun 2001," katanya.
Tambahnya, ada juga peniaga yang enggan mengambil lesen sementara yang dikeluarkan oleh MPK bagi menjalankan perniagaan mangga harumanis.
Mohd Anzara (tengah) memberikan "bunting" Kenali Harumanis supaya pengguna tidak mudah ditipu.
Bagi memastikan pengguna tidak ditipu, "bunting" Kenali Harumanis juga diedar kepada setiap gerai. "Dari sini pengguna dapat maklumat lebih jelas mengenai mangga harumanis," katanya.
Kata Mohd Anzara lagi, diharap tiada lagi aduan pengguna yang ditipu dengan mangga jenis lain. - KitaReporters