Bisnes & Ekonomi 12 May, 2023

Stesen ECRL Kota Bharu dilancar Anwar Ibrahim! Kemuncak pembinaan infrastruktur nasional sejauh 665km!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini (12 Mei 2023) telah melancarkan pembinaan stesen pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu Stesen ECRL Kota Bharu, seiring dengan kemuncak pembinaan infrastruktur nasional ini yang disasarkan pada tahun 2023. 

Terletak atas kawasan seluas 50.41 ekar di Bandar Baru Tunjong, pembinaan Stesen ECRL Kota Bharu akan merangkumi reka bentuk bangunan yang berteraskan konsep “Rumah Meleh Melayu Kelantan” dan bunga ketam guri serta menggunakan ciri-ciri unik kebudayaan negeri Kelantan. 



Stesen ECRL Kota Bharu, yang dibina untuk kegunaan penumpang, akan melibatkan platform bertingkat-tingkat dan bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat letak kereta, lokasi pick-up dan drop-off, laluan pejalan kaki berbumbung, kuarters pekerja serta kawasan lanskap. 

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pembinaan Stesen ECRL Kota Bharu menggambarkan kemajuan pembinaan infrastruktur nasional ini berada pada tahap yang membanggakan serta mengikut jadual yang ditetapkan. 

“Pembinaan Stesen ECRL Kota Bharu akan meyakinkan lagi kerja-kerja infrastruktur bagi stesen stesen yang lain di sepanjang jajaran ECRL dilaksanakan pada masa terdekat, dan seterusnya membolehkan penyiapan infrastruktur rel ini kekal siap pada Disember 2026,” kata beliau sempena ‘Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL’ yang disempurnakan oleh Anwar Ibrahim ini. 

Majlis yang penuh bermakna ini turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Eksekutif China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Hui. 



Zuki juga berkata, rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer akan mempunyai jumlah 20 buah stesen, iaitu 10 stesen penumpang dan 10 stesen gabungan penumpang & kargo. 

Inisiatif ini bakal menghubungkan ibu negeri, bandar-bandar, hab industri, pelabuhan serta zon pelancongan di negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang pada tahap yang lebih efektif dan mesra alam. 

Pengarah Eksekutif CCCC, Liu Hui, berkata: "Kami berasa teruja kerana dengan bermulanya kerja-kerja pembinaan stesen pertama di Kota Bharu, Projek ECRL kini telah memasuki fasa yang baharu. 

"Ia adalah langkah ke hadapan memandangkan kemajuan projek kini telah bergerak dari kerja-kerja asas ke kerja-kerja pembinaan jajaran. 

"Kami juga bangga dapat menyumbang kepada pembangunan pengangkutan yang selamat, efisien dan cekap bagi membolehkan penumpang penumpang ke destinasi dekat mahupun jauh." 

“Dengan pengalaman pasukan kami yang meluas menerusi projek-projek yang bertaraf dunia, kami yakin dan komited untuk menghasilkan mutu kerja yang tinggi untuk Projek ECRL," tambah beliau. 



Majlis pelancaran ini turut melibatkan penganugerahan sijil ‘Sustainable InfraStar’ dengan penarafan 5 Bintang oleh Construction Research Institute of Malaysia (anak syarikat CIDB Malaysia) kepada MRL dan CCCC bagi pengiktirafan reka bentuk laluan ECRL sebagai sebuah infrastruktur yang mampan dan telah mengamalkan ciri-ciri terbaik persekitaran dan sosial. 

Sementara itu, majlis pelancaran ini juga menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara MRL, CCCC dan tiga institusi pendidikan untuk Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL). 

Institusi-institusi yang terlibat adalah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT). 

Objektif MoU adalah untuk mendapatkan perkhidmatan dan kepakaran dari institusi-institusi pendidikan sepanjang pelaksanaan program PLKI-ECRL. 

Ia juga melibatkan kerjasama dalam menyediakan latihan dan pendidikan serta mengeratkan hubungan antara peserta-peserta program. 

Program PLKI-ECRL turut akan menawarkan peluang kepada seramai 3,200 pelatih yang terdiri daripada anak muda tempatan untuk menyertai fasa pengoperasian ECRL kelak. 

Pertukaran dokumen MoU juga disempurnakan antara MRL dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam kerjasama untuk mengukuh dan mempromosi latihan kerjasama industri serta dalam penyelidikan, perkongsian pengetahuan dan pembangunan modan insan. 



Projek ECRL yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 43 peratus setakat April 2023. 

Dengan lebih 1,200 tapak pembinaan di sepanjang jajaran, tahun 2023 merupakan kemuncak pembinaan Projek ECRL yang didorong antaranya oleh kerja-kerja terowong, pemasangan rasuk jejambat, kerja-kerja jajaran atas tanah, dan pembinaan stesen-stesen serta akan disusuli pemasangan landasan kereta api. 

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), merupakan pemilik projek dan aset ECRL manakala CCC-ECRL, anak syarikat CCCC adalah kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek. 

Rangkaian ECRL sepanjang 665-kilometer akan bermula di Kota Bharu dan tamat di Pelabuhan Klang. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
11
0
11
0
You will be interested