Bisnes & Ekonomi 20 Aug, 2025

Sekolah Angkat Madani ECRL! Sumbangan permulaan RM5k MRL kepada SK Sri Kiambang! Juga bakul makanan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang meneruskan komitmennya  terhadap pembangunan komuniti di sepanjang jajaran Projek ECRL menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada SK Sri Kiambang yang terletak di Kampung Repek, Pasir Mas sempena ‘Program Sekolah Angkat Madani Bersama ECRL’. Juga memberi sumbangan bakul makanan. - KitaReporters


Shamsul Azri Abu Bakar (tiga dari kiri) diiringi Darwis Abdul Razak (empat dari kanan) menyerahkan cek replika bernilai RM5,000 kepada Noorazman Junus, sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR MRL, seiring dengan aspirasi kerajaan menerusi Program Sekolah Angkat Madani.


Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang meneruskan komitmennya  terhadap pembangunan komuniti di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyalurkan sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang yang terletak di Kampung Repek, Pasir Mas. 

Sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi penyerahan cek sumbangan permulaan bernilai RM5,000 kepada Pengetua SK Sri Kiambang, Noorazman Junus, sempena ‘Program Sekolah Angkat Madani Bersama ECRL’ yang berlangsung di SK Sri Kiambang pada 9 Ogos 2025. 

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Seri Darwis Abdul Razak; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dato’ Ts. Aminuddin Hassim; dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Hisyamuddin Ghazali, turut hadir dalam program tersebut yang juga melibatkan guru-guru,  ibu bapa dan murid-murid SK Sri Kiambang. 


Shamsul Azri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada keluarga pelajat asnaf daripada SK Sri Kiambang, Pasir Mas.


Pihak MRL, selaku pemilik Projek ECRL, juga memberi sumbangan bakul makanan kepada seramai 50 keluarga pelajar asnaf dari SK Sri Kiambang bagi meringankan beban mereka yang  memerlukan. Penyerahan tersebut juga disempurnakan oleh Shamsul Azri. 

Pada masa sama, Shamsul Azri yang diiringi Darwis serta warga kerja MRL berpeluang mengadakan sesi ramah mesra yang cukup bermakna dan jamuan majlis kesyukuran bersama guru-guru, ibu bapa dan murid-murid SK Sri Kiambang. 

Satu sesi walkabout bersama Shamsul Azri dan Darwis juga diadakan oleh pihak SK Sri Kiambang bagi meninjau dengan lebih mendalam kemudahan yang sedia ada serta pelakasanaan akitiviti-aktiviti di sekolah tersebut. 

SK Sri Kiambang adalah antara lima buah sekolah di negeri-negeri Pantai Timur yang menjadi  sekolah angkat di bawah syarikat MRL. ‘Program Sekolah Angkat Madani Bersama ECRL’ adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat MRL untuk  menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan warga sekolah. 

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan menerusi Program Sekolah Angkat Madani, yang menggalakkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan  berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam membantu sekolah di seluruh negara. 

SK Sri Kiambang mempunyai kira-kira 1,200 pelajar dan lebih 100 guru dan kakitangan. 


Pihak  MRL berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat langsung kepada para pelajar serta memperkasa pendidikan di kawasan luar bandar, di samping membina hubungan baik  dengan komuniti setempat.

Pihak MRL tetap meneruskan inisiatif menyantuni serta meringankan beban keluarga yang  ditimpa musibah, golongan kurang berkemampuan, dan rumah anak-anak yatim yang khususnya  terletak di lokasi berhampiran jajaran ECRL yang sepanjang 665 kilometer. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
12
0
7
0
You will be interested