Bisnes & Ekonomi 06 Dec, 2025

Simbol penghormatan! Penanda aras baharu! Polisi berhijab AirAsia beri kelegaan dan kesyukuran!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Keputusan AirAsia membenarkan krew kabin wanita memakai hijab sepanjang bertugas disambut dengan rasa lega dan kesyukuran oleh pelbagai pihak, khususnya pekerja Muslimah yang sekian lama berharap agar penampilan patuh syariah dapat diraikan dalam kerjaya mereka.



Bagi sebahagian krew, dasar baharu itu bukan sekadar perubahan penampilan, tetapi satu pengiktirafan terhadap identiti, maruah dan pegangan hidup yang mereka junjung. 

Ia memberi ruang kepada mereka untuk berkhidmat dalam keadaan lebih tenang tanpa perlu mengetepikan prinsip agama.  


Noor Azman Yusof.


Pengarah Pusat Akademi Konsultansi Inspirasi (Inspiration Academy & Consultancy Centre (IACC)), Noor Azman Yusof, berkata langkah tersebut membawa makna besar kepada pekerja wanita yang ingin mengekalkan keserasian antara tuntutan kerjaya dan tuntutan agama.

“Apabila pekerja dihormati dan diberikan ruang untuk memenuhi keperluan agama, mereka hadir dengan keyakinan yang lebih tinggi. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan diri, malah memberi kesan positif kepada mutu perkhidmatan,” katanya.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa syarikat memahami keperluan sebenar pekerja. Ia bukan perubahan kosmetik, tetapi langkah memperkukuh budaya kerja yang menghormati kepelbagaian serta nilai yang dibawa oleh setiap individu,” katanya.


Dr Rajwani Md Zain.


 

Prof Madya Dr Rajwani Md Zain, pula berpendapat polisi itu berupaya memperkukuh reputasi syarikat sebagai majikan pilihan dalam industri penerbangan serantau.
Beliau menegaskan bahawa dasar yang meraikan kepelbagaian bukan sahaja meningkatkan kepuasan pekerja, malah menyumbang kepada daya saing organisasi dalam jangka panjang.

Dr Rohani Abdullah.


 

Manakala Prof Madya Dr Rohani Abdullah melihat keputusan AirAsia sebagai langkah yang tepat dalam menjunjung prinsip kesaksamaan dan penghormatan kepada kehendak agama, terutama dalam persekitaran kerja yang mempunyai interaksi tinggi dengan pelanggan.
Beliau berkata, keseimbangan antara profesionalisme dan sensitiviti agama adalah formula penting bagi mengekalkan keharmonian tempat kerja dan keyakinan masyarakat.

Dr Ahmad Shabudin Ariffin.


 

Sementara itu, Pensyarah Kanan di sebuah institusi pengajian tinggi di utara tanah air, Prof Madya Dr Ahmad Shabudin Ariffin, melihat keputusan AirAsia sebagai satu penanda aras baharu dalam tadbir urus organisasi yang menghargai hak dan nilai agama pekerja.
Beliau menjelaskan bahawa syarikat yang sensitif terhadap kepelbagaian dan keperluan pekerja sebenarnya sedang memperkukuh budaya kerja berintegriti serta imej korporat yang progresif.

Dr Hasrul Hashom.


Pensyarah Kanan dalam bidang tadbir urus dan integriti, Dr Hasrul Hashom, pula menyifatkan dasar baharu berkenaan sebagai selari dengan amalan pengurusan moden yang menekankan kesejahteraan menyeluruh pekerja.

“Pekerja yang merasa dihargai dan diiktiraf identitinya mampu bekerja dengan lebih stabil, tenang dan produktif. Keputusan ini menunjukkan keprihatinan terhadap keseimbangan antara kerjaya dan prinsip hidup,” katanya.


Sulaiman Ismail.

Dalam pada itu, pengusaha katering di Mekah dan Madinah, Sulaiman Ismail, yang sering berurusan dengan krew penerbangan ketika mengendalikan jemaah umrah dan haji, melihat dasar itu sebagai langkah positif, khususnya bagi pelanggan Muslim.

“Penampilan yang sopan dan menghormati nilai agama memberi keyakinan kepada jemaah. Apabila krew kelihatan lebih selesa, mereka mampu melaksanakan tugas dengan lebih baik,” katanya.


Md. Roslan Mohammad Jaafar.


Pandangan sama dikongsi pengusaha pakej umrah, Md. Roslan Mohammad Jaafar, yang menyifatkan dasar baharu AirAsia itu sebagai memberi ketenangan kepada jemaah yang menggunakan perkhidmatan penerbangan ke Tanah Suci.

“Jemaah amat menitikberatkan penampilan patuh syariah. Keputusan ini meningkatkan keyakinan mereka terhadap syarikat penerbangan yang memahami keperluan dan sensitiviti agama,” katanya.


Dasar yang membenarkan krew wanita memakai hijab sepanjang bertugas itu disambut baik kerana meraikan kepelbagaian serta memberikan keselesaan kepada pekerja Muslimah.

Langkah AirAsia ini dilihat bukan sahaja sebagai perubahan dasar, tetapi sebagai simbol penghormatan terhadap identiti dan nilai hidup pekerja. 

Ia menjadi petanda bahawa industri semakin terbuka dan peka terhadap keperluan masyarakat, khususnya pekerja Muslimah yang ingin mengekalkan keseimbangan antara kerjaya dan tuntutan agama. - KitaReporters

10
11
0
9
0
You will be interested