
Terdapat keperluan untuk menstruktur semula pembiayaan kesihatan sedia ada di negara ini termasuk penubuhan Dana Kesihatan Nasional agar lebih mampan, terangkum dan berkesan untuk jangka panjang.
Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) ke-8 2025 pada pagi 6 Mei 2025 bersama enam menteri Kabinet dan pegawai tertinggi perkhidmatan awam.
"Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada pembentangan mengenai Hala Tuju dan Inisiatif Transformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan secara berfasa-fasa serta cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional.
"Perbincangan kami tertumpu pada keperluan menstruktur semula sistem pembiayaan sedia ada agar lebih mampan, terangkum dan berkesan untuk jangka panjang, seperti mana yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan," kata beliau.
Menurutnya, ia juga menekankan pentingnya tadbir urus, perolehan dan pelaksanaan yang berkesan dan peranan pelbagai kementerian, khususnya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam merangka pelaksanaan seterusnya.
Selain itu, Perdana Menteri memberitahu, mesyuarat turut meneliti Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 yang dibentangkan oleh Kementerian Ekonomi.
"Saya mengambil maklum langkah-langkah awal yang sedang dilaksana untuk menghadapi cabaran populasi menua, termasuk mekanisme tadbir urus rentas kementerian yang lebih menyeluruh dan bersepadu," jelas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
