Bisnes & Ekonomi 15 Jun, 2023

Kini tulis wasiat lebih mudah! Maybank Islamic lancar EzyWasiat! Khidmat inovatif penulisan wasiat!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Maybank Islamic Berhad pada 14 Jun 2023 telah melancarkan EzyWasiat, perkhidmatan penulisan wasiat yang inovatif dan efisien untuk umat Islam di Malaysia. 

Perkhidmatan digital baharu ini membolehkan pelanggan merancang dan menyiapsediakan wasiat mereka dengan lebih cekap dan teratur, selaras dengan syariah dan undang-undang faraid.

Platform EzyWasiat ini dibangunkan mengikut model bantuan unik di mana pelanggan akan dibantu secara langsung oleh penasihat pengurusan kekayaan patuh syariah atau pengurus hubungan yang akan menggabungkan algoritma faraid untuk memudahkan proses penulisan wasiat. 

Pelanggan hanya perlu menyediakan dokumen yang betul, dan dengan bayaran serendah RM600, penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 minit sahaja.

Tujuan utama EzyWasiat adalah untuk memberikan kelapangan minda dalam pengurusan harta dan memastikan harta tersebut diuruskan dengan betul setelah pemergian individu. 


Dari kiri ke kanan, Raymond Dinesh Gabriel, CEO Kumpulan CreateWills Sdn Bhd, Mohamed Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican, dan Ahmad Shareza Abdul Rahman.


Produk ini disasarkan kepada umat Islam dan tidak hanya terhad kepada mereka yang sudah lama berniat untuk menyediakan wasiat tetapi terhalang sama ada disebabkan oleh faktor kerumitan proses, kos atau kurangnya kemudahan.

Perancangan harta dan warisan adalah perkara yang harus diberikan keutamaan. Terdapat banyak laporan media yang menyebut harta atau aset bernilai lebih daripada RM70 bilion yang masih belum lagi diagihkan. 

Ini disebabkan kurangnya kesedaran tentang kepentingan merancang pembahagian harta sebelum kematian.

Untuk menyediakan kemudahan ini kepada pelanggan, Maybank Islamic telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat fintech, CreateWills Sdn Bhd serta menggabungkan nasihat sokongan dan pegawai perhubungan pelanggan Maybank Islamic yang berdedikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato' Mohamed Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican berkata pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi bank itu untuk membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.

"Kami kekal komited untuk menerajui perbankan patuh syariah bukan sahaja di rantau ini malah serata dunia. 

"Berbekalkan jalinan perkongsian pintar, kami berada pada kedudukan yang strategik untuk membuka jalan ke arah fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya. 

"Selain memenuhi janji kami terhadap kelestarian kewangan Islam, kami juga berusaha untuk mendigitalkan produk-produk kami dalam menawarkan penyelesaian kepada para pelanggan, maka tercetusnya kerjasama dengan CreateWills ini.”

"Kerjasama antara Maybank Islamic dan CreateWills menandakan pencapaian penting dalam bidang perkhidmatan penulisan wasiat bagi umat Islam, khususnya dari segi perancangan harta patuh syariah. 

"Ia juga mengukuhkan komitmen Maybank Islamic untuk menjadikan perkhidmatannya mudah diakses oleh semua umat Islam di Malaysia," tambah Mohamed Rafique.



"Dengan EzyWasiat, umat Islam dapat memanfaatkan perkhidmatan penulisan wasiat khusus untuk mereka yang menitikberatkan keperluan syarak dan perancangan masa hadapan demi orang yang tersayang. 

"Dalam erti kata lain, kami membantu anda untuk merealisasikan perancangan harta dari niat ke wasiat," kata Ketua Pengurusan Kekayaan dan Pembangunan Perniagaan Patuh Syariah Maybank Islamic, Ahmad Shareza Abdul Rahman.

Beliau menambah lagi bahawa misi bank adalah untuk memperkasa pelanggan untuk merancang masa hadapan mereka secara efisien, di samping memastikan niat mereka untuk mematuhi keperluan Islam dapat dipenuhi dengan mudah.

"Dengan proses penulisan wasiat yang dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit dan struktur harga yang berpatutan, kami ingin memastikan agar tiada sesiapapun yang terkecuali daripada bantuan guaman perancangan harta yang berkualiti tinggi. 

"Malah, EzyWasiat yang berasaskan teknologi digital ini mudah untuk diubah suai dari semasa ke semasa jika diambil kira realiti perubahan hidup dan peredaran masa yang dinamik," jelas Ahmad Shareza.

EzyWasiat merupakan salah satu tawaran baharu di bawah penyelesaian pengurusan harta patuh syariah Maybank Islamic yang holistik serta merangkumi semua 5 teras pengurusan kekayaan - penghasilan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan.

Baru-baru ini, di bawah teras penyucian harta, Maybank Islamic telah melancarkan perkhidmatan dalam talian iaitu EzQurban untuk memudahkan amalan korban sempena sambutan Aidiladha dalam kalangan pelanggannya. 

Ini juga bagi membolehkan para pelanggan merancang kewangan mereka untuk menunaikan kewajipan korban pada masa hadapan. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
13
0
13
0
You will be interested