
ALUNAN bacaan surah Yasin bergema gemersik di Ballroom 2, Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi pada 17 Julai 2025 sempena Majlis Ulang Tahun Brahim's ke-37, sekali gus sambutan hari jadi pengasas Dewina Food Industries Sdn Bhd dan Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings Berhad, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.
Syahdu dan tenang mendengar setiap tetamu khusyuk membaca ayat-ayat suci itu. Walaupun sederhana, majlis berkenaan tampak meriah sekalipun tiada persembahan muzik.
Ia kemudian disulam dengan doa selamat dan kira-kira 250 tetamu mengaminkan doa termasuk Ibrahim yang kelihatan tersenyum menyambut hari jadinya yang ke-78.

Ibrahim memotong kek hari jadi sambil dibantu oleh anaknya, Nur Fatin.
Pak Brahim yang juga bekas Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan adik kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kemudian bangun untuk memotong kek hari jadi dan pulut kuning yang disediakan.
Ditubuhkan pada tahun 1986 oleh Ibrahim sebagai Dewina Food Industries di Bandar Baru Bangi, Selangor. Bermula dari pengeluaran menggunakan sistem "retort pouch" iaitu makanan siap sedia dalam pek yang tahan lama
Kemudian, Brahim's memperkenal sos dan pes masakan seperti masak merah, rendang, serta lauk pauk segera yang mudah disediakan dan menjadi kegemaran banyak isi rumah.

Bacaan Yasin dan doa selamat sempena ulang tahun ke-37 Brahim's Holdings Berhad dan meraikan sekali hari jadi Ibrahim ke-78 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Ibrahim berkahwin dengan Datin Seri Dr Hiryati Abdullah dan dikurniakan tiga anak iaitu Nur Fatin, Dr Nur Azizah dan Ahmad Fahimi. Bagaimana pun, hanya Fatin yang hadir meraikan ulang tahun ke-37 Brahim's Holdings dan sambutan hari jadi ayahnya.
Ramai rakan seperjuangan Ibrahim turut hadir, antaranya Pengerusi Desatera Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Desatera, Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Brahim Food Services Sdn Bhd, Faizal Rosli Datuk Abdullah.
Beliau juga menyampaikan sumbangan RM250,000 kepada Food Aid Foundation yang diwakili Pengasasnya, Rick Chee bagi menyokong inisiatif keselamatan makanan dan menangani isu kelaparan di Malaysia.

Ibrahim menyampaikan sumbangan RM250,000 kepada Rick Chee bagi menyokong inisiatif keselamatan makanan dan menangani isu kelaparan di Malaysia.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ibrahim berkata pihaknya dalam usaha mengembangkan perniagaannya dengan membuka dapur halal baharu di luar negara bagi tujuan katering halal ketika industri penerbangan global semakin pulih daripada pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, katanya ia masih dalam perbincangan dan pembukaannya adalah secara usaha sama dengan syarikat lain.
"Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, mungkin sekitar Oktober 2025 diumumkan. Ia masih dalam perbincangan dan di peringkat akhir.
"Brahim's optimis dengan kepulangan penuh semua pelanggan syarikat penerbangan antarabangsa.
"Antara syarikat penerbangan antarabangsa yang kembali menggunakan khidmat Brahim's ialah Qatar Airways, Emirates, British Airways, Turkish Airlines, Japan Airlines dan All Nippon Airways.
"Dua syarikat penerbangan baharu yang masuk iaitu dari China dan Asia Timur," katanya.
Brahim’s Holdings Berhad adalah sebuah kumpulan pemegang pelaburan yang berfokus pada katering pesawat halal, logistik serta pengurusan syarikat, menurut Chat GPT.
Meskipun menghadapi cabaran kewangan yang menyebabkan syarikat itu dinyahsenaraikan pada awal Jun 2025, mereka masih meneruskan operasi dan berusaha untuk memperluas pasaran, terutama dalam sektor katering halal - KitaReporters


Ibrahim bergambar kenangan bersama staf Brahim's dan Food Aid Foundation di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.