Bisnes & Ekonomi 04 Jun, 2024

Ulang tahun 50 hubungan diplomatik Malaysia-China! Pos Malaysia lancar koleksi setem kenang-kenangan!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: gamalnasir@gmail.com

Share this


Pos Malaysia mengumumkan pelancaran koleksi setem kenang-kenangan bersama China Post untuk memperingati ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China. 

Sambutan jubli emas ini meraikan persahabatan, kepercayaan dan persefahaman bersama selama setengah abad yabg bermula daripada pemeteraian Kenyataan Bersama (Joint Communique) bersejarah yang ditandatangani Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein, dan Perdana Menteri China, Chou En-lai pada 31 Mei 1974.

Selama berabad-abad lamanya, Malaysia dan China telah berkongsi sejarah yang kaya dengan pertukaran budaya dan hubungan sesama rakyat yang mengukuhkan hubungan mendalam antara kedua-dua negara. 

Pada tahun 2013, hubungan ini ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), yang lebih mengeratkan hubungan dua hala. 



Dalam meraikan ulang tahun penting ini, masa depan hubungan Malaysia-China akan terus kukuh dan saling memanfaatkan dengan kerjasama dan kemakmuran bersama yang berterusan. 

Setem kenang-kenangan ini menampilkan pokok ikonik dari kedua-dua negara: pokok kebangsaan Malaysia, Merbau, dan pokok terkenal China, Greeting Pine, yang melambangkan kekuatan dan keakraban yang berterusan antara kedua-dua negara. 

Pokok Merbau melambangkan kepentingan dan peranan penting sumber hutan dalam pembangunan industri dan ekonomi. 

Ia mewakili integriti pengurusan hutan lestari Malaysia, yang telah diurus dan 

dipulihara secara mampan bagi memastikan kepelbagaian biologi negara yang kaya terpelihara. 

Sementara itu, Greeting Pine, salah satu pokok paling terkenal di China yang terletak di Gunung Huangshan, menggambarkan tradisi budaya keramahan China. 

Dikenali dengan cabangnya yang panjang seperti lengan yang dihulurkan, Greeting Pine berfungsi sebagai simbol budaya penting keramahan rakyat China. 



Ciri-ciri Utama Set Setem ‘Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China’: 

  • 1 Lembaran Setem terdiri daripada 20 setem x RM1.50 (yang menampilkan pokok Merbau dan Greeting Pine) 
  • 1 Sampul Hari Pertama (dengan setem dan pembatalan khas) 
  • 1 Folder 

Set eksklusif ini berharga RM39.50 dan akan dijual mulai 31 Mei 2024 di semua Biro Filateli Pos Malaysia, termasuk 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara, dan secara dalam talian di https://shop.pos.com.my selagi stok masih ada. 

Sertai kami dalam memperingati pencapaian penting ini. Bawa pulang sekeping sejarah dengan koleksi setem eksklusif ini dan raikan lima dekad hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. - KitaReporters/Kenyataan Media

16
10
0
9
0
You will be interested