Bisnes & Ekonomi 16 May, 2023

Tahniah Kopetro! Buka cawangan kedua ArRahnukita! Pajak gadai patuh syariah! Di Bandar Baru Bangi!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) mengembangkan rangkaian perniagaan perkhidmatan pajak gadai milik mereka, ArRahnukita dengan merasmikan cawangan terbaharu yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Mula beroperasi sejak 28 Februari 2023 yang lalu, ArRahnukita Bangi merupakan cawangan kedua perkhidmatan pajak gadai patuh syariah milik koperasi itu. 

Pengerusi Kopetro, Roslan Abdul Rahim berkata, kejayaan membuka cawangan kedua ArRahnukita adalah bukti komitmen Kopetro terhadap anggota-anggota koperasi dalam meluaskan rangkaian perniagaan sedia ada demi memberikan pulangan dividen yang lebih lumayan. 



“Setelah tercapainya objektif Kopetro untuk mengoperasikan sebuah perkhidmatan pajak gadai ArRahnukita tahun lalu (2022), Alhamdulillah, kita berjaya mengorak selangkah lagi ke hadapan hari ini dengan perasmian cawangan kedua perniagaan ini,” ujar beliau dalam ucapannya pada Majlis Perasmian ArRahnukita Bangi pada 12 Mei 2023.

Beliau berucap pada majlis perasmian yang dihadiri Anggota-anggota Lembaga Koperasi, perwakilan-perwakilan, anggota-anggota Jawatankuasa Audit Dalaman dan barisan pengurusan Kopetro.

“Masyarakat kini lebih peka dan menyedari kelebihan membuat simpanan dan pelaburan jangka masa panjang dengan emas. 

"Melihat kepada situasi semasa, di mana dunia sedang menghadapi kenaikan kadar inflasi yang semakin membimbangkan, emas menjadi jalan penyelesaian terbaik bagi orang ramai untuk membuat simpanan, pelaburan dan modal perniagaan,” tambah Roslan.

Jelasnya, ArRahnukita bercadang membuka empat lagi cawangan dan sedang mencari lokasi-lokasi yang sesuai untuk mengembangkan rangkaian perniagaan perkhidmatan pajak gadai itu. 



Menurut Shamsudin Haron, Ketua Bahagian Keanggotaan dan Servis Kewangan yang bertanggungjawab dalam menerajui perniagaan ArRahnukita, selain cawangan di Sungai Besi dan Bangi, cawangan ArRahnukita di Ampang juga sudah pun memulakan operasinya bulan Mei 2023 ini. 

Tambahnya, pihaknya berinsipirasi untuk menjadikan ArRahnukita sebuah perkhidmatan pajak gadai emas yang menjadi contoh kepada ArRahnu lain dengan menawarkan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan sebuah jenama pilihan yang dipercayai.

ArRahnukita merupakan satu skim pajak gadai emas yang berlandaskan syariah Islam di mana cawangan pertama perkhidmatan itu beroperasi sejak tahun 2022 di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi. 



Pembiayaan Ar-Rahnu adalah produk pembiayaan yang membenarkan barang kemas dijadikan sebagai cagaran untuk dijadikan wang tunai. 

Pembiayaan yang dijalankan ArRahnukita adalah berlandaskan Konsep Syariah Tawarruq dan terbuka kepada semua bangsa dan agama.

ArRahnukita juga mampu memberi persepsi yang positif terhadap masyarakat malah dapat membantu mengatasi masalah kewangan dan menawarkan tempat penyimpanan barangan kemas yang selamat dan terjamin. 

ArRahnukita menerima semua jenis barang kemas dengan mutu emas 750 sehingga 999, iaitu bersamaan 18 karat sehingga 24 karat. Bukan itu sahaja barang kemas yang berbentuk permata, rose gold, jongkong emas dan syiling emas juga diterima.



Menarik buat pelanggan, ArRahnukita menawarkan peluang untuk memenangi bar atau wafer emas selepas tempoh enam bulan apabila pelanggan mencagar emas di ArRahnukita dengan nilai minimum RM5,000 sebelum 30 Jun 2023. 

100 orang bertuah bakal memenangi cabutan bertuah ini di mana pemenang bakal diumumkan secara bulanan bermula Julai 2023 ini.

ArRahnukita juga menawarkan margin pembiayaan sehingga 80% dari nilai emas atau sehingga RM300,000 nilai terkumpul. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
12
0
11
0
You will be interested