
Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, melalui perkhidmatan kuriernya, Pos Laju dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji, kembali menawarkan perkhidmatan Bagasi Haji bagi menyokong keperluan logistik para jemaah Haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah dan Madinah pada tahun 2025 ini.
Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman berkata, “perkhidmatan Bagasi Haji kami dirangka dengan penuh teliti bagi memberikan ketenangan fikiran kepada para jemaah, agar mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada ibadah tanpa kebimbangan terhadap barangan peribadi mereka.
"Dengan anggaran lebih 250 tan bagasi dan barangan akan dihantar ke seluruh negara, kami komited untuk memastikan setiap penghantaran dikendalikan dengan selamat, berhati-hati dan tiba tepat pada masanya.
"Ini sejajar dengan tonggak strategik kami untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan menggembirakan pelanggan."
Perkhidmatan Bagasi Haji menawarkan penghantaran bagasi dan bungkusan dari Tanah Suci ke Malaysia dan beberapa negara-negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Jemaah haji boleh menghantar bungkusan dan bagasi mereka di kaunter kaunter Pos Laju yang terdapat di hotel-hotel penginapan yang ditetapkan.

Jemaah juga boleh menghantar naskah al-Quran dan setiap pembungkusan akan dilekatkan dengan pelekat khas selain dikendalikan secara khas untuk memastikan naskah al-Quran sampai dengan selamat dan terpelihara.
Bagi memudahkan jemaah mengirim barangan dan tidak bersusah payah mencari kotak pembungkusan, kotak-kotak pembungkusan khas Pos Laju boleh dibeli dalam tiga saiz: kecil, sederhana, dan besar di kaunter Pos Laju.
Barang-barang yang telah dibungkus dengan rapi akan dihantar ke alamat jemaah di Malaysia dalam anggaran masa antara 7 ke 14 hari bekerja.
Pembayaran boleh dibuat secara tunai dalam matawang Arab Saudi Riyal (SAR) atau melalui pilihan Bayar Waktu Terima (COD) apabila penghantaran tiba di Malaysia.
Pada tahun 2025 ini, kaunter Pos Laju akan beroperasi di Hotel Land Premium di Mekah dan Hotel Saja Al Madinah di Madinah. - KitaReporters/Kenyataan Media