
Industri media massa tempatan sedang mendepani cabaran dunia yang semakin canggih dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) serta transformasi pantas teknologi digital.
Menyedari hakikat itu, Kerajaan Malaysia Madani memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan latihan, pendedahan teknologi dan sokongan infrastruktur bagi industri media massa tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu bertujuan menjayakan transformasi digital dan peningkatan kapasiti wartawan serta organisasi media, termasuk melalui latihan, pendedahan teknologi dan sokongan infrastruktur.
"Media yang bebas, beretika dan berwibawa adalah antara tiang seri utama demokrasi yang matang.
"Dan dalam dunia yang semakin canggih dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai-nilai kemanusiaan semakin mendesak untuk dipertahankan.
"Saya tekankan bahawa dalam Negara Madani, kita tidak boleh hanya mengejar teknologi semata-mata tanpa menginsafi keperluan untuk berpijak di bumi yang nyata yakni berpaksikan kepada kebenaran, keadilan, nilai moral dan tanggungjawab sosial.
"Inilah maksud “menggapai langit, tetapi tetap mengakar ke bumi",” tegas beliau.


Anwar berkata demikian kita merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional atau (Hawana) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025. Hawana disambut pada 29 Mei setiap tahun.
Katanya, Hawana 2025 menjadi medan penting untuk memperkukuh ekosistem media negara, khususnya dalam memperkasa pengamal media untuk menghadapi cabaran baharu termasuk ledakan maklumat, penularan fitnah, dan manipulasi persepsi pada era digital.
"Kita mahu wartawan Malaysia bersedia dan setanding dengan dunia, tetapi tetap teguh berteraskan etika dan prinsip kebenaran.
"Kita menolak ‘manufacturing consent’, dan dalam masa sama, harus menolak ‘manufacturing dissent’. Kritikan dibenarkan namun ia harus bertanggungjawab.
"Terima kasih kepada semua pengamal media yang terus memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat, pencetus wacana, pengimbang kuasa dan pendukung agenda reformasi serta pembangunan Malaysia Madani," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
