Cadangan penetapan harga lantai bagi perkhidmatan kurier oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia berpotensi memberi kesan tidak seimbang kepada usahawan luar bandar dan bukan bandar, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurut Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, struktur kos dan tahap kebergantungan usahawan luar bandar terhadap perkhidmatan kurier adalah jauh lebih tinggi berbanding usahawan di kawasan bandar utama.
“Tanpa mekanisme imbangan yang sesuai, penetapan harga lantai berisiko memperlahan kadar penyertaan ekonomi luar bandar dan bertentangan dengan agenda pembangunan inklusif negara,” katanya.
DPMM menegaskan bahawa e-dagang telah menjadi pemangkin utama mobiliti ekonomi bagi usahawan di Sabah, Sarawak, Pantai Timur serta wilayah Utara.
Namun begitu, penetapan harga asas kurier berpotensi melebarkan jurang kos antara penjual bandar dan bukan bandar, memandangkan kelebihan ekonomi skala dan kepadatan pasaran lebih memihak kepada kawasan bandar.
Selain itu, menurut DPMM, usahawan luar bandar sedia menanggung kos logistik yang lebih tinggi akibat faktor jarak penghantaran, frekuensi yang rendah serta keterbatasan rangkaian.
Penetapan harga lantai yang seragam tanpa mengambil kira realiti ini berisiko menambah beban kos operasi dan menghakis margin keuntungan PMKS luar bandar yang sememangnya kecil.

DPMM turut berpandangan bahawa harga lantai yang diwajibkan boleh meningkatkan kos perkhidmatan secara keseluruhan dan seterusnya melemahkan galakan keusahawanan, khususnya dalam kalangan peniaga mikro dan sektor informal di luar bandar.
Kerana itu pelaburan infrastruktur yang lebih baik adalah penting untuk meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan, yang seterusnya membolehkan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi dengan tahap kebolehpercayaan yang lebih baik.
Dengan sistem dan kemudahan yang lebih cekap, kos operasi dapat dikurangkan, sekali gus membolehkan penyedia menawarkan perkhidmatan pada kos yang lebih rendah tanpa menjejaskan kualiti, memberi manfaat kepada perniagaan dan pengguna akhir.
Dari sudut inklusi digital, DPMM menegaskan bahawa akses kepada logistik yang mampu milik merupakan prasyarat penting. Peningkatan mendadak kos penghantaran berisiko menjadi langkah ke belakang dalam usaha merapatkan jurang digital dan ekonomi antara bandar dan luar bandar.

PMKS di luar Kuala Lumpur dan bandar utama juga berdepan risiko kehilangan daya saing walaupun menawarkan produk tempatan yang unik dan berpotensi untuk pasaran nasional serta antarabangsa, memandangkan pasaran e-dagang amat sensitif terhadap harga akhir kepada pengguna.
“Pendekatan yang lebih anjal dan inklusif diyakini mampu melindungi kelestarian industri kurier tanpa menjejaskan agenda pemerkasaan ekonomi luar bandar dan usahawan Melayu,” kata Norsyahrin. - KitaReporters/Kenyataan Media