Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group Sdn. Bhd. terus mengorak langkah strategik dalam memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu peneraju industri pengurusan fasiliti (FM) dan pembinaan dengan menggabungkan kecanggihan teknologi pintar serta aspek inovasi yang menyokong agenda Environmental, Social & Governance (ESG) dalam pelaksanaan perkhidmatan.

Pengaplikasian elemen-elemen tersebut diperkenal secara lebih komprehensif melalui penyertaan VFive Group di Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR Malaysia yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre baru-baru ini.
Antara fokus utama termasuklah pengenalan sistem Smart FM iaitu satu model pengurusan berteraskan digital, analitik dan integrasi data yang dirangka untuk mentransformasikan kecekapan operasi. Model berkenaan menggunakan aplikasi V-ROSE (Real-time Organisational Solution Engagement) iaitu perisian Computerised Maintenance Management System (CMMS) yang dibangunkan oleh tenaga pakar tempatan dan mematuhi sepenuhnya spesifikasi JKR serta Dasar Keselamatan ICT (DKICT).
Melalui pendekatan Smart FM, setiap aduan daripada pelanggan dipantau dan seterusnya diintegrasikan secara proses automasi bagi memastikan tindakan penyelenggaraan melibatkan aset, utiliti, sisa buangan dan sebagainya ditangani dengan pantas dan efisien.
Keberkesanan model tersebut dapat dilihat melalui impak positif yang diterima melibatkan projek semasa termasuklah pengurusan fasiliti di Bangunan Sultan Iskandar, kuarters kerajaan persekutuan di Presint 10 dan 14 serta Blok E4/5 Presint 1, Putrajaya di mana maklum balas pelanggan menunjukkan tahap kepuasan yang amat memberangsangkan hasil kecekapan pasukan teknikal syarikat.
Mengulas mengenai perkara ini, Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah menekankan bahawa penambahbaikan berterusan adalah teras kepada strategi syarikat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat dalam menembusi landskap pasaran yang semakin kompetitif.
“Dalam dunia digital yang dipacu automasi, robotik dan kecerdasan buatan (AI), teknologi sentiasa berkembang dengan laju.
"Sebagai pemain industri, kami perlu sentiasa berada dua atau tiga langkah ke hadapan dan proaktif mengambil pendekatan yang menggabungkan transformasi teknologi dengan kecekapan operasi bagi memberikan nilai tambah yang luar biasa kepada pelanggan”, tambahnya lagi.
“Justeru, penyertaan VFive Group di HPTN 2025 adalah bukti komitmen syarikat dan peranan signifikan yang dimainkan dalam memacu industri FM dan pembinaan ke arah ekosistem yang lebih pintar, mampan dan berdaya saing”, katanya.

Syafiq Abdullah (depan, dua dari kiri) menyampaikan plak penghargaan kepada Alexander Nanta Linggi (tengah) pada majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 di Persada Johor International Convention Centre.
Dalam sektor pembinaan pula, VFive Group tampil memperkenal model Smart Construction merangkumi BIM, Digital Twin, IoT Monitoring, Robotics, Modular Construction dan juga analitik kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan perancangan, mempercepat pelaksanaan serta menambah baik keselamatan di kawasan tapak pembinaan.
Di samping itu juga, penggunaan bahan pembinaan yang mesra alam sekitar turut diketengahkan termasuk sistem penuaian air hujan, teknologi solar lighting, acuan plastik boleh guna semula yang sesuai untuk kegunaan pembangunan infrastruktur seperti perumahan, bangunan komersial, sekolah, sistem pengairan dan sebagainya.
Penyertaan VFive Group di HPTN 2025 mencipta tarikan tersendiri apabila reruai pameran syarikat menerima lawatan rasmi daripada barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR), mencerminkan simbolik pengiktirafan terhadap kredibiliti VFive Group sebagai peneraju dan penyedia solusi teknologi pembinaan pintar tempatan.
Antara yang hadir mengadakan lawatan ke reruai VFive Group ialah Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Kerja Raya, Dato’ Seri Azman Ibrahim.
Sepanjang berlangsungya acara, reruai VFive Group tidak putus-putus menerima kunjungan pelawat termasuklah daripada pengurusan tertinggi dan kakitangan JKR, wakil agensi kerajaan, pemain-pemain industri, orang awam dan ramai lagi.
Seiring dengan visi untuk terus berkembang, VFive Group bertekad memperluas penglibatan dalam projek pengurusan fasiliti dan pembinaan berskala besar bukan sahaja di dalam negara malah menembusi pasaran global terutamanya di rantau Asia dan Timur Tengah.
“Untuk kekal berdaya saing dalam era digital dan teknologi baharu, kami akan terus melihat ke hadapan dan menerokai pendekatan-pendekatan terkini yang boleh diaplikasikan bagi memberikan nilai tambah yang luar biasa kepada pelanggan,” ujar Mohd Syafiq.
“VFive Group komited menyahut sepenuhnya seruan Kerajaan dan kementerian khususnya untuk melangkaui pendekatan tradisional dengan mengadaptasi teknologi tanpa mengabaikan pembangunan modal insan yang seimbang dan cerdas akal,” tambahnya lagi.
Bagi pihak industri, rakan strategik atau pihak berkepentingan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan serta solusi yang ditawarkan oleh VFive Group, boleh berbuat demikian dengan melayari platform laman sesawang rasmi syarikat atau hubungi talian khidmat pelanggan yang disediakan. - KitaReporters/Kenyataan Media